X

Kindly register in order to view this article
!

Mat rempit lepas gian berlumba dicekup

Antara yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Grand Saga, pada Sabtu.
A
A

KAJANG - Sekumpulan 'mat rempit' yang melepas gian berlumba bukan sahaja ditahan kerana menunggang secara berbahaya, malah turut dikenakan tindakan kompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seramai 10 lelaki berusia 17 hingga 20 tahun ditahan secara berasingan dalam Ops Samseng Jalanan sepasukan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Lebuhraya Grand Saga, di sini pada Sabtu.

Timbalan Pengarah (I) JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, tangkapan bermula jam 11.20 malam itu mengesan penunggang motosikal terbabit melakukan aksi berbahaya iaitu zig-zag, menundukkan badan dan bersaing sesama sendiri.

"Suspek yang terdiri daripada empat geng berlainan ditahan dalam empat siri tangkapan di lokasi sekitar.

"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua motosikal jenis Yamaha 15ZR dan Yamaha 135LC telah disita manakala tindakan kompaun RM5,000 setiap seorang turut dikenakan terhadap semua penunggang motosikal terbabit.

"Tindakan kompaun dikenakan selepas kesemua mereka ini didapati melakukan kesalahan ingkar SOP dengan berkumpul, berlumba dan membuat aktiviti tanpa sebab munasabah di bawah perkara 4 dan 5 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan) (No 4) (Pindaan) (No 15) 2021," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!