X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Perlu jadual semula jika gagal hadir janji temu vaksin: Dr Adham

Adham diiringi Vidyananthan (dua dari kanan) melalukan imbasan MySejahtera semasa melakukan lawatan PPV Mega Persada, Johor Bahru pada Ahad.
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Individu yang gagal menghadiri tarikh janji temu untuk suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu melakukan penjadualan semula menerusi aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sekali gus mencapai imunisasi kelompok dengan 80 peratus rakyat tercapai.

"Kerajaan akan memaklumkan jumlah individu yang gagal menghadiri tarikh janji temu mereka minggu depan.

"Kita terima laporan harian bahawa ada individu yang gagal hadir janji temu vaksinasi mereka atas pelbagai sebab antaranya tiada pengangkutan atau kerana takut untuk disuntik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat PPV Mega Persada di sini pada Ahad.

Hadir sama Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Aman Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, kerajaan bagaimanapun tidak berdepan sebarang masalah akibat kegagalan individu menghadiri janji temu berkenaan.

"Bekalan vaksin yang tersedia itu boleh digunakan untuk penerima suntikan pada keesokan harinya.

"Mereka juga tidak perlu bimbang kerana nama mereka yang telah berdaftar masih ada dalam senarai individu menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksinasi," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan PPV Mega yang akan mula beroperasi esok akan menyaksikan seramai 500 penerima suntikan bagi dua hari pertama pembukaannya.

"Kita akan laksanakan program ini secara berperingkat-peringkat iaitu pada hari pertama dan kedua, seramai 500 penerima akan disuntik manakala bermula hari ketiga dan seterusnya seramai 3,000 individu akan disuntik sehari.

"Kaedah pelaksanaan suntikan bagi vaksin AstraZeneca ini akan dilakukan sama seperti suntikan vaksin lain yang telah dibuat terdahulu dan saya yakin semuanya akan berjalan lancar kerana persiapan rapi telah pun dibuat," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!