Pemuda UMNO beri cadangan perkasakan pakej Pemerkasa

Tengku Haphiz
Tengku Haphiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan masih dibelenggu dengan pemikiran ekonomi usang apabila cuma membelanjakan RM5 bilion sebagai suntikan tunai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, hakikatnya perbelanjaan rakyat sebenarnya akan menggerakkan aliran tunai dan mengembangkan perniagaan dalam negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa kaedah bagi mengatasi masalah tersebut termasuk membenarkan pengeluaran automatik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kadar tertentu untuk golongan M40 dan T20.

“Cadangan kedua adalah memberi moratorium pinjaman tanpa faedah kepada B40 dan mereka yang hilang pekerjaan, tiada pendapatan, perniagaan merosot dan dipotong gaji atau elaun.

“Menambah bayaran tunai kepada golongan B40 dan golongan terkesan seperti hilang pekerjaan (tanpa mengira tahap pendapatan) sebanyak RM1,000. Bantuan bagi M40 ditetapkan pada kadar RM500, bujang pula sebanyak RM300.

“Memastikan pendidikan maya berjalan secara teratur dengan menyediakan modul khusus bagi setiap mata pelajaran termasuk pembekalan 150,000 gajet elektronik yang masih belum selesai,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Tengku Haphiz berkata, kerajaan juga disarankan untuk mengenakan cukai keuntungan luar biasa (windfall tax) kepada pemilik kilang yang dibenarkan beroperasi ketika ‘lockdown’ dan mendapat keuntungan.

Kutipan cukai itu katanya, hendaklah digunakan bagi tujuan membinaan hospital medan dan menaiktaraf fasiliti kesihatan serta program pemberian vaksin kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Pemuda UMNO Terengganu percaya terdapat banyak cara untuk kerajaan mendapatkan tunai untuk rakyat bagi membantu mereka.

"Sebagai contohnya, kerajaan dijangka memperoleh dividen atau royalti sebanyak RM18 bilion dari Petronas bagi tahun ini dan nilai itu berdasarkan unjuran harga minyak dunia sebanyak AS$42 setong," katanya.

Belgitupun beliau berkata, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, harga minyak mentah telah pun meningkat kepada AS$64 setong dan kerajaan dijangka memperoleh tambahan dividen RM9.4 bilion berbanding unjuran asal.

“Selain itu kerajaan juga boleh menerbitkan bon dan menaikkan paras hutang bagi tempoh sementara.

“Alasan bahawa kerajaan tidak mempunyai wang adalah tidak munasabah. Setiap negara berdaulat memiliki 'currency sovereignty' yang memungkinkan negara mengawal bekalan tunai berdasarkan output ekonomi semasa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan hanya belanjakan RM5 bilion untuk Pemerkasa Tambahan: AMK

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan umum Pemerkasa Tambahan RM40 bilion