X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

UMNO berhak tarik diri jika keadaan jadi lebih buruk: Khaled

Mohamed Khaled Nordin
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO berhak menegur dan mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) malah berhak menarik diri daripada gabungan itu jika keadaan tidak menjadi lebih baik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertama kerana UMNO adalah parti terbesar yang membentuk PN dan itu adalah hakikat sama ada mana-mana pihak suka atau tidak.

"Jadi, UMNO mempunyai hak, tugas dan tanggungjawab moral memastikan pemimpinnya dalam PN dan PN secara umumnya melakukan yang terbaik untuk rakyat. Bukan sekadar menegur, UMNO berhak menarik diri jika keadaan tidak menjadi lebih baik.

"Kedua, pertikaian terhadap kritikan UMNO ke atas PN hanya membenarkan mentaliti 'sekapal', 'satu gang' dan 'sama sahaja'.

"Kita tidak boleh membudayakan sikap berdiam diri atas mana-mana tindakan yang tidak bermanfaat hanya kerana yang melakukannya itu adalah daripada kalangan kita. UMNO tidak boleh bersikap demikian kerana seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, sebab ketiga kerana Rasulullah SAW mengajar supaya umatnya berkata benar sekali pun pahit.

"Saya melihat konteks berkata benar ini termasuklah menegur dan membetulkan mereka daripada kalangan pasukan atau ahli kita sendiri. Sebab itu ia pahit. Janganlah kesalahan orang sebesar kuman di sebarang laut kita nampak.

"Salah rakan sendiri sebesar gajah di depan mata, kita boleh tersepak," tegas bekas Menteri Besar Johor itu.

Keempat katanya, fokus UMNO adalah rakyat dan negara, maka sesiapa sahaja yang melakukan tindakan yang tidak mendatangkan manfaat terbaik kepada negara akan terus ditegur dan dikritik malah ditentang.

Beliau dan pemimpin UMNO lain percaya bahawa tanggungjawab moral itu wujud dan mesti dilaksanakan, justeru UMNO akan terus menegur dan tidak boleh membisu kerana semua itu adalah untuk kebaikan bersama.

"Setiap kali ada mana-mana pemimpin UMNO mengkritik kerajaan PN, akan ada satu respons wajib yang mesti terbit. Mengapa perlu kritik PN? Bukankah UMNO juga dalam kerajaan? Tak ada group WhatsApp kah," soalnya.

Tambah beliau, empat perkara yang disebutkan di atas adalah sebab mengapa UMNO perlu bersuara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!