Palestin tidak aman walau Israel ada PM baharu

Bebola api dan asap kelihatan selepas roket Israel membedil bangunan kediaman di Genting Gaza pada bulan lalu. - AFP
Bebola api dan asap kelihatan selepas roket Israel membedil bangunan kediaman di Genting Gaza pada bulan lalu. - AFP
A
A
A

TEL AVIV - Walaupun Presiden dan Perdana Menteri Israel silih berganti, kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Palestin tetap tidak akan berubah.

Ini kerana sejak kewujudan negara Yahudi itu pada tahun 1948, ada sahaja peristiwa tentang pembunuhan dan pengusiran penduduk Palestin dilaporkan di dada-dada akhbar.

Lebih malang lagi, kekejaman Israel berada dalam pengetahuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi rejim Zionis tidak pernah sekali pun disabit bersalah kerana melakukan jenayah perang.

Justeru, perubahan pucuk pimpinan Israel tidak membawa sebarang kesan signifikan terhadap keamanan berpanjangan di Asia Barat.

Difahamkan, Pengerusi Agensi Yahudi, Issae Herzog, 60, akan mengambil alih jawatan Presiden pada bulan ini manakala bekas Menteri Pertahanan, Naftali Bennett pula semakin hampir menggantikan Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri Israel yang baharu.

Pada masa lalu, kedua-dua individu ini sering mengeluarkan kenyataan berbaur rasis terhadap rakyat Palestin.

Setakat ini, tiada jaminan bahawa Israel akan melaksanakan dasar mesra Palestin apabila Bennett berkuasa kelak.

Bennett, 49, yang sememangnya mahu menjadi Perdana Menteri pernah menyatakan dalam satu temu ramah pada 2013 bahawa beliau menolak penubuhan negara Palestin dan menyokong peluasan penempatan haram Yahudi di wilayah yang diduduki terutamanya di bahagian Tebing Barat.

Artikel Berkaitan:

Penduduk Palestin masih dijajah rejim Zionis walaupun berpuluh-puluh kali perubahan kepimpinan berlaku di Israel. - AFP
Penduduk Palestin masih dijajah rejim Zionis walaupun berpuluh-puluh kali perubahan kepimpinan berlaku di Israel. - AFP

Pada tahun sama, pemimpin parti Yamina itu turut mengeluarkan kenyataan biadab apabila menyatakan setiap pejuang Palestin perlu dibunuh dan tidak sepatutnya ditangkap.

Sikap itu menyebabkan seorang ahli politik veteran Palestin, Mustafa Barghouti mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Israel yang bakal diterajui Bennett tidak mampu untuk mewujudkan keamanan dengan Palestin.

Sebaliknya, Barghouti yang mengetuai parti Inisiatif Kebangsaan Palestin menyatakan satu-satunya perkara positif dalam perubahan kepimpinan itu ialah Netanyahu tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Pergerakan Hamas melalui jurucakapnya, Hazem Qassem baru-baru ini turut mengulas bahawa setiap kerajaan baharu Israel mempunyai dasar-dasar permusuhan dengan penduduk Palestin.

Seorang wakil Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Bassam Al-Salhi pula menganggap sikap melampau Bennett terhadap Palestin tidak kurang samanya dengan Netanyahu.

Justeru, walaupun Netanyahu yang merupakan Perdana Menteri Israel paling lama berkhidmat bakal berundur, nasib penduduk Palestin yang ditindas rejim Zionis juga tidak akan mengalami perubahan.

Seorang lelaki Palestin memeluk erat jenazah anak perempuannya yang berusia tujuh tahun selepas kediaman mereka di utara Genting Gaza dibedil jet Israel dalam serangan pada Mei lalu. - AFP
Seorang lelaki Palestin memeluk erat jenazah anak perempuannya yang berusia tujuh tahun selepas kediaman mereka di utara Genting Gaza dibedil jet Israel dalam serangan pada Mei lalu. - AFP

Berdasarkan perjanjian bersama, Bennett akan menjadi Perdana Menteri baharu selama dua tahun sebelum digantikkan oleh pemimpin parti Yesh Atid, Yair Lapid, 57 untuk baki dua penggal seterusnya.

Ketika Netanyahu menjadi Perdana Menteri, terdapat senarai panjang keganasan yang dilakukan rejim Zionis antaranya ialah pada tahun 2009, 2012, Perang Gaza pada tahun 2014 dan pertempuran udara pada Mei lalu yang mengakibatkan ratusan penduduk Palestin syahid.

Semua serangan itu kononnya adalah untuk menghapuskan para pejuang Palestin yang menentang rejim Zionis.