X

Kindly register in order to view this article
!

Tanggungjawab dan ketelusan

A
A

BERGEMA kembali seruan supaya Parlimen dibuka bagi membolehkan ahli Parlimen menyuarakan isu rakyat. Suara itu kian lantang sehinggakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sendiri menyuarakannya.

Dahulu ramai berfikiran apabila darurat diisytiharkan, negara akan dikuasai tentera, rakyat duduk di rumah kerana perintah berkurung dilaksanakan dan semua kegiatan ekonomi, sosial serta perundangan disekat. Hakikatnya, darurat tidak semestinya pemerintahan kuku besi atau penghujung kehidupan yang bebas.

Darurat bukanlah pemerintahan tentera tetapi memahatkan segala kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.Melihat darurat secara positif akan menghasilkan natijah yang baik untuk negara. Dahulu banyak perkara tidak dapat kita lakukan kerana birokrasi dan keperluan undang-undang tetapi kini dalam masa darurat berkuatkuasa, ia lebih mudah untuk dilakukan.

Darurat yang diisytiharkan tahun ini tidak menjejaskan kedudukan Perdana Menteri dan jemaah menterinya. Hal itu jelas diperincikan dalam Ordinan Darurat yang diwartakan. Disebabkan itulah, timbul isu di mana kebertanggungjawaban dan ketelusan pihak eksekutif kepada pihak legislatif. Pihak legislatif tidak mempunyai forum sesuai menjalankan fungsi semak dan imbang kepada eksekutif, malah suara rakyat juga tidak dapat disampaikan melalui wakil rakyat mereka.

Misalnya, apabila Perintah Kawalan Pergerakan penuh diisytihar, rakyat tertanya-tanya pelaksanaannya, sektor mana terlibat dan yang lebih penting, apakah bantuan diberikan kerajaan kepada rakyat yang terbeban.

Alhamdulillah, Perdana Menteri sudah mengumumkan bantuan daripada kerajaan tetapi penjelasan Menteri Kewangan bahawa kerajaan tidak boleh memaksa bank memberikan moratorium mendapat cemuhan rakyat. Ia disebabkan kuasa kerajaan adalah besar dalam tempoh darurat.

Bukan sahaja kerajaan boleh membuat ordinan memaksa bank memberi moratorium, malah kerajaan juga berkuasa mengambil milikan mana-mana premis bagi tujuan tertentu. Penjelasan Menteri Kewangan yang memihak kepada pihak bank sangatlah dikesali rakyat.

Penjelasan sebegini perlu dibahaskan di Parlimen kerana Ordinan Darurat tidak menyatakan dengan spesifik pergantungan Parlimen. Yang di-Pertuan Agong juga dilaporkan pernah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Perkara 150 (2C) Perlembagaan Persekutuan menyatakan sesuatu ordinan yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau dirungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7).

Kuasa Yang di-Pertuan Agong memasyhurkan ordinan di bawah Fasal (2B) boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen. Jelaslah, tatacara perundangan tidak perlu diikuti secara ketat untuk membuat ordinan, malah ia boleh diteruskan keabsahannya walaupun selepas darurat, namun kebertanggungjawaban pihak eksekutif mestilah dilaksanakan.

Rakyat sudah jelak dengan mainan politik. Darurat tidaklah bermakna kebebasan asasi rakyat dikesampingkan atau pemerintahan yang menzalimi rakyat dilakukan. Ia mungkin hanya mekanisme mengekang krisis-krisis yang terjadi di Malaysia iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan politik.

Rakyat masih boleh menjalankan aktiviti sosial ekonomi dan lain-lain. Mungkin juga aktiviti keagamaan diberi kelonggaran supaya kita mendapat berkat dan berdoa menjauhkan segala bahaya kepada negara. Ambillah peluang untuk kesejahteraan negara bagi membuat ordinan perlu ketika ini. Namun, aspek ketelusan, kebertanggung jawaban dan kesejahteraan rakyat perlu diberi perhatian sewajarnya.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!