X

Kindly register in order to view this article
!

Ruang yang harus dipertahankan

A
A

DALAM tempoh dua minggu, negara dikejutkan dengan dua peristiwa. Pertama, pada 20 Mei, pesawat jenis Boeing 737-400 milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) dengan nombor pendaftaran 4X-AOO berlepas dari Tel-Aviv, Israel pada 18 Mei dilaporkan untuk melakukan penerbangan ujian. Dalam perjalanan, pesawat itu telah memasuki ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Pangkalan Tentera Udara di Paya Lebar, Singapura. Pesawat 4X-AOO dipercayai jenis pesawat prototaip yang berkemampuan untuk pengintipan.

Penerbangan pesawat 4X-AOO memasuki ruang udara Malaysia telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) dan tiada apa-apa corak penerbangan luar biasa dilaporkan tetapi ia menimbulkan kecurigaan masyarakat. Baru-baru ini Israel melabel Malaysia sebagai salah satu negara menyokong kumpulan Hamas dan memperjuangkan nasib penduduk Palestin selepas krisis kemanusiaan di Gaza tercetus sejak pertengahan Mei.

Kerajaan Malaysia tidak boleh dipersalahkan kerana menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa atau International Civil Aviation Organization (ICAO), pesawat awam dibenarkan memasuki ruang udara selagi penerbangan mengikut peraturan-peraturan ditetapkan.

Kedua, pada 1 Jun, isu ruang udara sekali lagi mendapat perhatian apabila pesawat tentera jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 milik Tentera Udara Pembebasan Rakyat China atau People’s Liberation Army Air Force (PLAAF) dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, dari 2016 hingga 2019, sebanyak 89 pencerobohan telah berlaku di kawasan perairan Malaysia, khasnya di Beting Patinggi Ali, juga dikenali sebagai Luconia Shoals di pesisiran pantai Sarawak. Pencerobohan itu dilakukan oleh kapal Pasukan Pengawal Pantai China atau Chinese Coast Guards (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China atau People’s Liberation Army Navy (PLAN). Malah, menurut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sepanjang 2018 hingga 2019 sebanyak 29 kali pencerobohan telah berlaku.

China merupakan salah satu negara dalam tuntutan bertindih ke atas kawasan Laut China Selatan. Selain itu, negara-negara yang turut membuat tuntutan termasuk Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei. Bagaimanapun, hanya China yang membuat tuntutan hampir keseluruhan kawasan Laut China Selatan.

Dalam kejadian 31 Mei, pesawat tentera udara China jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20, merupakan kapal terbang pengangkut yang mempunyai pelbagai kemampuan, antaranya mengangkut paratroopers dan kereta kebal serta tinjauan.

Pergerakan pesawat PLAAF yang semakin menghampiri ruang udara dikesan melalui kawalan darat TUDM yang telah meminta untuk mengenal pasti identiti dan niat mereka. Namun, pesawat PLAAF tidak memberi apa-apa reaksi sehingga TUDM menghantar jet pejuang jenis Hawk 208 yang merupakan Light Combat Aircraft (LCA) untuk memintas pesawat pengangkut PLAAF.

Perlu ditegaskan bahawa jet pejuang jenis Hawk 208 milik TUDM kini sudah berusia 25 tahun, malah banyak aset ketenteraan Malaysia perlu diganti bagi mempertahankan kedaulatan negara serta menghadapi cabaran pencerobohan tentera asing. Perkara itu sejajar dengan apa yang telah dicadangkan dalam Kertas Putih Pertahanan 2019 agar TUDM dilengkapi dengan Medium Range Air Defence (MERAD) dan lebih radar pertahanan.

Akan tetapi, negara sedang menghadapi kegawatan ekonomi akibat Covid-19 dan ia menyukarkan pembelian aset-aset pertahanan baharu. Namun, ia tidak bermakna negara boleh berkompromi dalam isu pertahanan.

Justeru, kerajaan harus menggalakkan perkembangan industri pertahanan tempatan dan memberi penekanan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan atau Research and Development (R&D) dalam industri teknologi pertahanan. Selain meningkatkan keupayaan pertahanan, Malaysia juga harus memperkukuhkan kerjasama multilateral melalui ASEAN, misalnya Perjumpaan Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan ASEAN Plus yang turut melibatkan rakan dialog seperti Jepun, China, India dan Amerika Syarikat (AS).

Dalam peristiwa pencerobohan pesawat PLAAF mahupun penerbangan pesawat 4X-AOO, ia memberi pengajaran kepada Malaysia bahawa pasukan pertahanan mesti berada dalam keadaan siap siaga dan mempunyai keupayaan cegah rintang dalam mempertahankan kepentingan negara.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!