Tukar kerajaan bukan penyelesaian

No Image Caption
A
A
A

NEGARA sedang berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang menyebabkan sebahagian besar industri dan aktiviti perniagaan terhenti seketika.

Walaupun berdepan kritikan awam mengenai kelonggaran PKP 3.0, namun statistik menunjukkan jumlah yang dibenarkan bekerja tidak mencecah 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara berjumlah 16 juta orang. Setakat ini, hanya 1.2 juta dibenarkan bekerja ketika PKP 3.0.

Melihat jumlah kes Covid-19 mencecah ribuan orang, ramai menjangkakan perintah darurat yang berakhir 31 Ogos 2021 akan disambung sekurang-kurangnya sehingga 31 Disember nanti.

Lanjutan tempoh darurat akan memberi kestabilan sementara kepada politik dan kesihatan kerana penamatan perintah darurat akan menjurus negara kepada Pilihan Raya Umum (PRU).

PRU selepas darurat tidak dapat dielakkan kerana UMNO telah memutuskan untuk menarik diri daripada kerajaan pada Ogos nanti atau sebaik sahaja darurat ditamatkan.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah memberi komitmen dan akujanji beliau untuk mengadakan PRU se-baik darurat ditamatkan.

Justeru, sebarang keputusan tidak melanjutkan perintah darurat akan mengakibatkan Perdana Menteri perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Sudah tentu PRU dalam keadaan vaksinasi belum mencapai 80 peratus akan mengundang gelombang baharu pandemik kepada negara.

Artikel Berkaitan:

Lebih membimbangkan, kita akan mendapat satu lagi hung government iaitu tiada sebuah parti mempunyai majoriti yang stabil untuk menjadi kerajaan.

Ketika itu, ahli politik akan sibuk ‘berurus niaga’ menentukan siapa Perdana Menteri, siapa menteri, pegawai kanan kerajaan mengurus negara tanpa polisi jelas dan rakyat menjadi penonton sarkas yang menunggu masa untuk masuk ke hospital.

Sejak beberapa hari lalu, timbul cadangan penubuhan kerajaan darurat yang baharu. Apa beza kerajaan darurat yang baharu dengan sekarang?

Ketika ini, negara ditadbir oleh kerajaan demokrasi yang memerintah secara darurat. Pentadbiran hari ini adalah lanjutan pemilihan demokrasi ahli-ahli Parlimen yang dibuat pada Februari 2020 mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan

Apa dicadangkan oleh mereka ialah Yang di-Pertuan Agong meneruskan darurat dengan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti 1969. Mageran akan dianggotai oleh beberapa orang individu yang dipercayai oleh Seri Paduka Baginda, yang mampu menguruskan negara ketika darurat.

Dalam model Mageran 1969-1971, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dilantik sebagai Pengarah Operasi dan dibantu Tun Ismail (Menteri Dalam Negeri), Tun Tan Siew Sin (Kewangan), Tun Sambathan (Kerja Raya), Tan Sri Abu Samah (Komunikasi). Ghazali Shafie (Luar Negara), Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera.

Jika dilihat tanpa bias ideologi politik, model itu tidak jauh berbeza dengan model yang ada sekarang melalui Majlis Keselamatan Negara.

Jadi, mengapa timbul cadangan tersebut? Ia timbul untuk menyingkirkan Muyhiddin dan menggantikan dengan orang lain dalam menguruskan negara.

Namun, hak menggantikan orang lain terletak kepada Yang di-Pertuan Agong juga. Seri Paduka Baginda boleh sahaja membubarkan kabinet ini dan kemudian melantik Muhyiddin sebagai Pengarah Operasi yang baharu. Yang di-Pertuan Agong juga boleh melantik orang lain yang berkemampuan menguruskan negara ketika pandemik.

Persoalannya apakah ia akan mampu memuaskan hati mereka yang mencadangkan sebuah pentadbiran baharu itu.

Realitinya, menukar kerajaan pun tidak akan menyelesaikan pandemik sekelip mata. Pasukan baharu masih perlu meneruskan usaha vaksinasi sedia ada kerana sebarang perubahan akan membawa kepada penangguhan capaian imuniti kelompok.

Jadi, apa salah kita semua bersabar dan memberi ruang proses vaksinasi berjalan sehingga hujung tahun sebelum membuat apa-apa perubahan politik.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)