Moral Harimau Malaya tak terjejas

Luqman Hakim (dua dari kanan) sedia diturunkan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya dalam pertemuan menentang Vietnam pada 12 Jun ini. - FOTO: FB FAM
Luqman Hakim (dua dari kanan) sedia diturunkan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya dalam pertemuan menentang Vietnam pada 12 Jun ini. - FOTO: FB FAM
A
A
A

KEKALAHAN besar 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak menjejaskan moral barisan pemain skuad Harimau Malaya, malah mereka akan terus bangkit memperbaiki kelemahan dalam melaksanakan misi meraih slot automatik ke Piala Asia 2023.

Biarpun kem skuad kebangsaan sedikit suram susulan kekalahan itu, penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin berkata, kekecewaan tersebut segera digantikan dengan semangat tinggi barisan pemain untuk bangkit mencipta keputusan positif dalam perlawanan berikutnya.

Bagi pemain kelab profesional Belgium, KV Kortrijk berusia 19 tahun itu, perlawanan menentang UAE perlu dilihat sebagai pengajaran berguna kepada pemain negara untuk memperbaiki kelemahan serta meningkatkan persefahaman menjelang pertemuan berdepan Vietnam dan Thailand.

"Kekalahan 0-4 itu bukan sikit, tetapi pemain lebih fokus untuk maju ke hadapan dan bersemangat menghadapi perlawanan seterusnya. Tiada pemain yang murung atau patah semangat, saya yakin mereka (pemain) di landasan yang betul untuk bawa pasukan cipta kejayaan.

"Segala kesilapan dilakukan dalam perlawanan UAE, kita akan perbetulkan dalam masa enam hari ini, saya yakin dengan setiap individu dalam pasukan ini," katanya dalam sidang media secara maya di Dubai pada Sabtu.

Malaysia memulakan kembali saingan Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang tertangguh sejak tahun lepas susulan penularan pandemik Covid-19 dengan kekalahan 0-4 kepada skuad tuan rumah di Stadium Zabeel, Dubai pada awal pagi Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: UAE tewaskan Harimau Malaya 4-0

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu dijadual bertemu Vietnam pada 12 Jun dan Thailand (16 Jun) dalam misi menjuarai saingan Kumpulan G, sekali gus melakar sejarah membantu Malaysia layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia sejak kali terakhir pada edisi Piala Asia 1980 di Kuwait.

Sementara itu, Luqman Hakim, yang merupakan produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berazam membuktikan segala dipelajarinya di Belgium jika terpilih untuk diturunkan pada aksi berdepan Vietnam dan Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Itu (pilihan) semua keputusan jurulatih, sebagai pemain tugas kita hanya bersedia 100 peratus sebelum perlawanan. Maka jika diberi peluang saya akan bagi lebih 100 peratus, 200 peratus, saya akan bagi semua yang saya ada. Saya yakin ini pasukan terkuat dan mampu layak ke Piala Asia," katanya.

Pada aksi menentang UAE, Luqman Hakim dibawa masuk menggantikan pemain sayap, Muhammad Safawi Rasid pada babak kedua perlawanan, sekali gus membuat penampilan pertamanya pada pertandingan kompetitif di peringkat senior.

Malaysia kini menduduki tempat keempat dalam saingan Kumpulan G, berkongsi sembilan mata bersama UAE di kedudukan kedua dan Thailand (ketiga) sementara Vietnam selesa mendahului dengan 11 mata dan Indonesia tercorot selepas hanya mengumpul satu mata.