X

Kindly register in order to view this article
!

JKPBD Kuala Pilah nafi penduduk terlibat PKPD tidak dibantu

Antara bekalan makanan yang diberikan kepada semua penduduk terkesan dengan PKPD di Kampung Juasseh, Kuala Pilah.
A
A

KUALA PILAH - Dakwaan bahawa penduduk Simpang Juasseh di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan serta tidak dibantu adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap menjelaskan, pihaknya sentiasa memberikan khidmat terbaik kepada semua keluarga yang terkesan dengan PKPD tersebut.

"Setiap ahli isi rumah yang tidak memakai gelang kuarantin dibenarkan untuk membeli keperluan asas di kedai runcit di dalam kawasan PKPD. Syaratnya cuma seorang sahaja yang dibenarkan keluar membeli barang.

"Jika ada salah seorang ahli isi rumah memakai gelang 'pink', ahli keluarga yang tidak bergelang 'pink' dibenarkan untuk keluar rumah membeli barang," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mohd Faizal berkata, sekretariat juga sentiasa mendapatkan nama ahli isi rumah yang tidak dibenarkan keluar daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diselaraskan bantuan makanan.

Pemeriksaan stok makanan basah dan kering di kedai runcit dalam kawasan PKPD.
Pemeriksaan stok makanan basah dan kering di kedai runcit dalam kawasan PKPD.

"Mereka juga dibenarkan memesan makanan melalui Food Panda, Grab Food atau menerusi saudara mara, namun meletakkannya di pos pengawal untuk diserahkan kepada keluarga terlibat.

"Sekiranya stok bekalan asas di kedai runcit di kawasan PKPD itu kehabisan, kita akan menghantar bekalan daripada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atau boleh menghubungi kami di talian hotline PKPD Simpang Juasseh iaitu 017-6552040 untuk tindakan lanjut," jelas beliau.

Tambah beliau, bantuan makanan turut disalurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Mohd Aidil Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Baru-baru ini tular di media sosial mendakwa pihak bertanggungjawab tidak menyalurkan bantuan makanan kepada keluarga terkesan di PKPD Juasseh selain melahirkan rasa kecewa dengan keadaan tersebut.

PKPD yang berkuat kuasa pada Isnin lepas di Juasseh melibatkan seramai 2,125 penduduk di tiga kawasan perumahan iaitu Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!