Kelas, latihan baharu di Pulapol, kem tentera tidak dibenarkan

Ismail Sabri (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah ketika membuat lawatan ke sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada Sabtu. - Bernama
Ismail Sabri (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah ketika membuat lawatan ke sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada Sabtu. - Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat latihan polis atau kem tentera di seluruh negara tidak dibenarkan membuat sebarang aktiviti, latihan atau kelas yang baharu dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana ia melibatkan kumpulan yang ramai dan besar malah berisiko tinggi dijangkiti wabak Covid-19.

“Latihan di pihak polis dan tentera juga tidak dibenarkan kecuali kepada mereka yang sedang menjalani latihan (sebelum tempoh Sekatan Pergerakan Penuh), kita tidak akan menghentikan latihan mereka.

“Oleh itu, untuk sebarang kelas atau latihan yang baharu (kelas atau latihan yang akan datang) yang dilaksanakan dalam tempoh ini juga tidak dibenarkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelaksanaan kelas serta latihan oleh pusat latihan polis dan kem tentera.

Ditanya mengenai bilangan keanggotaan pasukan petugas pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata, ia akan ditambah bagi memastikan tiada premis perniagaan dan perkilangan yang beroperasi secara haram dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

“Setakat ini, seramai 13,500 pasukan petugas SOP sedia ada telah diatur gerak di seluruh negara dan kita akan tambah lagi bilangan keanggotaannya.

“Insya-ALLAH, pihak Angkatan Tentera Malaysia juga bersetuju untuk menambahkan bilangan keanggotaan... kita akan buat lawatan mengejut ke kilang-kilang tertentu untuk memantau (dan) yang tidak dibenarkan beroperasi, kita akan arahkan ditutup,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: