Organisasi perlu rancang jadual kerja fleksibel elak tekanan BDR

Pasangan suami isteri, Shafiq Afendy Mohd Shariff dan Anna Baizura Mispani melaksanakan tugasan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR). - Foto Bernama, gambar kecil: Intan Syazlina Mohd Ali
Pasangan suami isteri, Shafiq Afendy Mohd Shariff dan Anna Baizura Mispani melaksanakan tugasan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR). - Foto Bernama, gambar kecil: Intan Syazlina Mohd Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Kesukaran untuk mengimbangi antara waktu kerja dengan keluarga menjadi punca ramai yang menghadapi tekanan ketika bekerja dari rumah (BDR).

Penolong Pendaftar Kanan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (Masmed), Universiti Teknologi Mara (UITM), Intan Syazlina Mohd Ali berkata, terdapat beberapa cara yang boleh dipraktikkan oleh majikan serta pekerja bagi mengimbangi antara pekerjaan dan keluarga untuk menangani tekanan.

Menurutnya, sepanjang tempoh pandemik, waktu bekerja menjadi lebih panjang menjadikan ramai tertekan dan majikan perlu menetapkan garis panduan yang jelas dan fleksibel.

“Organisasi perlu merancang jadual bekerja. Fleksibiliti yang dimaksudkan perlu seiring dengan tanggungjawab serta konsep kerja yang boleh disesuaikan dengan perubahan mengikut keadaan semasa.

"Ini menggalakkan rasa tanggungjawab yang mendorong pekerja mematuhi masa dan lebih produktif,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Intan Syazlina memberitahu, pekerja turut digalakkan melakukan aktiviti selain bekerja supaya mereka lebih segar dan kekal produktif.

“Setiap 10 ke 15 minit luangkan sedikit masa untuk melakukan aktiviti lain seperti makan tengah hari bersama keluarga atau berjalan-jalan.

“Pekerja digalakkan memasukkan waktu rehat dalam jadual kerja dan mereka harus mematuhi jadual tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, majikan perlu menerangkan mengenai kepentingan penglibatan mereka di dalam operasi syarikat dalam tempoh yang mencabar seperti sekarang dan menjelaskan akibatnya jika gagal bekerjasama.

Beliau turut menegaskan, keluarga patut diutamakan berbanding perkara lain dan pekerja harus bijak menangani masalah keluarga.

“Mengimbangi keperluan bekerja dan tanggungjawab berkeluarga perlu seiring tetapi keluarga harus diutamakan.

“Jika pekerja masih lagi tertekan dengan tugasan dan menghadapi masalah ketika BDR jalan terbaik ialah berbincang bersama pihak pengurusan untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.