X

Kindly register in order to view this article
!

Guna alat menyelamat terkini ketika gempa bumi

Jamili ketika hadir dalam Tele-Conference Zoom Webinar Memperingati Gempa Bumi Gunung Kinabalu Keenam yang diadakan secara maya.
A
A

KOTA KINABALU - Penggunaan alat penyelamatan yang terkini perlu diperluaskan dalam kerja-kerja menyelamat jika berlaku kejadian gempa bumi yang menyebabkan kemalangan jiwa serta kerosakan terutama di Gunung Kinabalu.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Jamili Nais berkata, latihan simulasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Gunung Kinabalu juga perlu diteruskan setiap dua tahun sekali sekiranya keadaan sudah mengizinkan.

"Penggunaan peralatan penyelamatan yang lebih terkini seperti dron, satelit dan penyampaian maklumat secara digital atau dalam talian perlu diperluaskan penggunaannya semasa kerja-kerja menyelamat dilaksanakan," katanya ketika berucap sempena penutupan Tele-Conference Zoom Webinar Memperingati Gempa Bumi Gunung Kinabalu Keenam pada Sabtu.

Menurut beliau, dalam Webinar ini sebanyak empat kertas kerja dibentangkan selain dua perkongsian pengalaman daripada ranger taman dan malim gunung.

"Kertas kerja pembentang pertama menyentuh mengenai risiko dan sistem pemantauan gempa bumi di gunung dan sekitar Taman Kinabalu.

"Pembinaan sistem pemantau ini amat penting bagi menganalisis tren gegaran gempa bumi dan dapat memaklumkan dengan pantas kepada orang ramai melalui media sosial dan tindakan yang perlu dibuat," katanya.

Jamili berkata, pembentangan kedua membabitkan kesan gempa bumi yang berlaku di Gunung Kinabalu yang bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa pendaki dan malim gunung, malah kerosakan landskap Gunung Kinabalu.

"Dari segi kesan positif, gempa bumi ini telah memberikan kita momentum untuk bekerjasama dengan lebih kuat bagi tujuan pembinaan semula kemudahan pendakian termasuklah aspek keselamatan pendaki.

"Kerjasama ini diterjemahkan dengan pembinaan denai pendakian baharu, kemudahan penginapan, penganjuran Latihan Simulasi (SAR) Gunung Kinabalu dan penghasilan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan pendakian Gunung Kinabalu yang lebih menyeluruh," katanya.

Menerusi pembentangan ketiga dan keempat, Jamili berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan mengenai cabaran dan kerja-kerja penyelamatan mangsa di Gunung Kinabalu.

Tragedi gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter di Gunung Kinabalu berlaku pada 5 Jun 2015 dan mengorbankan seramai 18 nyawa membabitkan empat malim gunung dan 14 pelancong termasuk kanak-kanak ketika itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!