10 wanita warga asing mangsa pemerdagangan diselamatkan

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis berjaya menyelamatkan 10 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam Ops Pintas pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua wanita warga Thailand, Vietnam dan Indonesia berusia lingkungan 31 hingga 36 tahun itu diselamatkan selepas polis menyerbu sebuah apartment di kawasan Butterworth pada jam 8.55 malam.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 34 dan 41 tahun yang berperanan sebagai penjaga dan penghantar makanan kepada semua mangsa tersebut.

"Kedua-dua lelaki ini ditahan untuk siasatan lanjut kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia. Kita turut merampas dua buah telefon bimbit, sebuah kereta, lima keping kondom dan beberapa barangan lain.

"Hasil pemeriksaan, kedua-dua lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah lampau yang mana salah seorang daripada mereka dikehendaki bagi satu kes penipuan di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Noorzainy berkata, polis masih memburu dalang sindiket tersebut yang masih bebas.

"Siasatan mendapati, sindiket ini mula beroperasi kira-kira setahun lalu. Mereka menjadikan hotel sebagai transit dalam menjalankan kegiatan mereka.

"Bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan bermula 1 Jun lalu, kegiatan mereka agak terganggu lalu mula berpindah ke sebuah apartment," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang awam diminta membantu polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pelacuran dan pemerdagangan manusia melalui sistem Volunteer Smartphone Control (VSP) atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 045762222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan siasatan masih dijalankan.