Adik Allahyarham Nik Aziz meninggal dunia

Allahyarham Nik Razin
Allahyarham Nik Razin
A
A
A

KUALA NERUS - Adik kepada Allahyarham Nik Aziz, Nik Razin Nik Mat meninggal dunia jam 12.53 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu pada Sabtu.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Syafizi Ismail berkata, beliau difahamkan, Allahyarham yang berusia 78 tahun meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Katanya, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini jam 10 pagi tadi.

Bagaimanapun, isteri kepada bekas Ketua Urusan Ulama Pas Kawasan Setiu itu telah meninggal dunia tahun lalu.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakam ucapan takziah atas pemergian Allahyarham menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

"Menerima perkhabaran dukacita pemergian Almarhum Ustaz Nik Razin Nik Mat. Arwah merupakan adik kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Takziah buat seluruh ahli keluarga dan semoga Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah," katanya.

Khabar duka itu turut dikongsikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang merupakan anak saudara Allahyarham menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebooknya.

Artikel Berkaitan:

"Dukacita dimaklumkan ayah saudara saya yang juga adik kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Almarhum Ustaz Nik Razin Nik Mat telah kembali ke rahmatullah hari ini.

"Marilah kita bersama mendoakan agar Allah SWT mengampuni, merahmati dan menempatkan almarhum bersama para solehin. Insya-ALLAH,” katanya.