MKN arah Kongres Nasional PKR secara maya esok ditangguh

Kenyataan akhbar yang dikeluarkan PKR pada Sabtu berhubung penangguhan Kongres Nasional PKR itu. Gambar kanan: Nik Nazmi
Kenyataan akhbar yang dikeluarkan PKR pada Sabtu berhubung penangguhan Kongres Nasional PKR itu. Gambar kanan: Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menangguhkan kongres nasional tahunan parti itu yang dijadualkan berlangsung secara maya pada Ahad.

Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu dimaklumkan MKN melalui surat yang diterima pada jam 6.21 petang, Jumaat.

Menurut beliau, makluman secara lisan berhubung penangguhan itu turut diterima daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada hari sama.

“Arahan terbaru MKN ini bertentangan dengan surat mereka bertarikh 27 Mei lalu yang menyatakan bahawa mereka tiada halangan terhadap penganjuran Kongres Nasional PKR secara dalam talian sepenuhnya.

“PKR merakam bantahan keras tetapi terpaksa akur dengan arahan ini," katanya dalam satu kenyataan pada petang Sabtu.

Nik Nazmi berkata, Majlis Pimpinan Pusat PKR telah membuat keputusan untuk menangguhkan kongres nasional parti ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Tambah Nik Nazmi, butiran keputusan berkenaan akan diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam amanat khas yang akan disampaikan melalui Facebook rasmi parti itu pada jam 11 pagi, Ahad.

"Beliau (Anwar) akan turut menyentuh isu ekonomi dan Covid-19 serta perkembangan politik terkini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wanita PKR yang diterajui Ketuanya, Fuziah Salleh selamat bersidang menerusi Kongres Wanita Nasional 2020 secara dalam talian buat julung kali pada Jumaat dengan penyertaan 369 perwakilan sekali gus menjadikan ia sayap PKR pertama bersidang secara maya.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut mengadakan Kongres Nasional Tahunan 2020 secara maya pada Sabtu dengan disertai lebih 200 perwakilan dan menyaksikan Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyampaikan ucapan dasar.