Penyakit LSD pada lembu tidak menjangkiti manusia

Che Abdullah ditemui semasa melakukan lawatan kerja dan tinjauan di Pasar Nelayan Pulau Gajah, pada Sabtu.
Che Abdullah ditemui semasa melakukan lawatan kerja dan tinjauan di Pasar Nelayan Pulau Gajah, pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan menafikan berlaku jangkitan penyakit kulit kental ataupun lumpy skin disease (LSD) melibatkan manusia kerana ia tidak zoonotik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan telah mengaktifkan program survelan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit LSD terhadap ternakan lembu di seluruh negara.

Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 81,252 ekor ternakan lembu di 9,108 premis dan ladang diperiksa dan mendapati 89 ekor menunjukkan gejala jangkitan LSD.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengetatkan syarat import lembu hidup dari luar negara bagi mencegah penularan penyakit LSD.

"Dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), kita juga telah memperkemas kawalan di pintu masuk negara di sempadan Malaysia dan mengambil tindakan ke atas mana-mana konsainan lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di Stesen Kuarantin," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau ditemui semasa melakukan lawatan kerja dan tinjauan di Pasar Nelayan Pulau Gajah di sini.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, kerajaan juga memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan penternak lembu supaya segera menghubungi pejabat perkhidmatan veterinar di negeri atau daerah berdekatan sekiranya mengesyaki ternakan lembu di dalam jagaan atau kandang menunjukkan gejala penyakit LSD.

"Pensampelan akan dijalankan untuk tujuan pengesahan penyakit. Ternakan lembu yang dijangkiti LSD perlu di asingkan dan dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih jabatan atau rumah sembelih swasta yang dilesenkan.

Artikel Berkaitan:

"Tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD. Ternakan lembu yang dijangkiti boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin," katanya.

Katanya, walaupun penyakit LSD tidak menyebabkan kematian yang tinggi, tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan lembu dan kerugian kepada penternak akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu tenusu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan kepada lembu pejantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga kes disyaki penyakit kulit kental di Kedah sedang dianalisa

ARTIKEL BERKAITAN: Bencana kepada industri ternakan