Sila log masuk terlebih dahulu.

Covid-19: Sisa klinikal meningkat lebih 100 peratus

Ahmad Masrizal menyerahkan pek makanan kepada Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai pada program penyerahan pek makanan di kawasan PKPD Sentul, pada Sabtu.
Ahmad Masrizal menyerahkan pek makanan kepada Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai pada program penyerahan pek makanan di kawasan PKPD Sentul, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembuangan sisa klinikal seperti bahan plastik pakai buang, sarung tangan getah dan gaun isolasi yang digunakan petugas barisan hadapan di semua fasiliti kesihatan meningkat sebanyak 111.94 peratus.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, sisa buangan klinikal akan terus meningkat sehingga 173.25 peratus sebulan dalam tempoh 12 bulan mendatang.

Menurut beliau, hal ini boleh dianggap sebagai suatu angka signifikan yang boleh mengancam kehijauan bumi dan menggugat kelestarian alam sekiranya tidak berjaya diuruskan dengan baik.

"Sisa klinikal pakaian perlindungan diri (PPE) yang diperoleh dari pusat kawalan dan rawatan seperti hospital Covid-19 serta pusat-pusat kuarantin digazetkan sebagai harta pelupusan di seluruh negara.

"Sebanyak 12 insinerator, empat microwave dan satu ozonator dilesenkan di seluruh negara untuk menguruskan buangan terjadual SW 404 dengan kemampuan kapasiti keseluruhan sebanyak 5,168.05 tan metrik.

"Nilai semasa penjanaan sisa klinikal iaitu 4,394.37 tan metrik dan akan terus meningkat sekiranya lebih ramai rakyat dijangkiti Covid-19," kepada media pada program penyerahan pek makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pada Sabtu.

Pada program tersebut, seramai 150 petugas barisan hadapan yang bertugas di Kampung Batu Muda Kuala Lumpur menerima pek makanan bagi meraikan penat lelah mereka sempena hari terakhir kawasan terbabit dikenakan PKPD.

Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal berkata, pihaknya mengalu-alukan fasiliti kesihatan swasta yang berhasrat untuk menguruskan sisa klinikal di Malaysia untuk berhubung dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) atau Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Artikel Berkaitan:

“Masyarakat juga diseru untuk kekal duduk di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini bagi mengelakkan lengkuk jangkitan daripada terus meningkat,” katanya.