Cubaan seludup 450kg daun ketum ke Thailand gagal

Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 450 kg melalui jalan laut di pesisir pantai Kuala Sanglang, pada Sabtu.
Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 450 kg melalui jalan laut di pesisir pantai Kuala Sanglang, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah mematahkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 450 kilogram (kg) melalui jalan laut di pesisir pantai Kuala Sanglang, di sini, pada Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, berdasarkan maklumat risikan, bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak melakukan tinjauan sebelum mengesan sebuah bot bertambat tanpa muatan lebih kurang jam 6.15 pagi.

Noor Azreyanti berkata, pasukan operasi mengesyaki bot bertambat tanpa muatan tersebut merupakan bot suspek dan kemudiannya melakukan tinjauan sekitar bagi menjejak suspek dan ketum.

"Hasil tinjauan di kawasan pesisir pantai telah menemukan 45 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum yang dipercayai baru dipetik dan diletakkan di tepi pesisir pantai berdekatan yang dipercayai hanya menunggu masa untuk diseludup keluar ke Thailand," katanya.

"Susulan itu, kita merampas kesemua bungkusan disyaki mengandungi daun ketum seberat 450 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM81,000 dan dibawa ke Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

45 bungkusan plastik berwarna hitam ditemukan diletakkan di kawasan pesisir pantai Kuala Sanglang, dipercayai untuk diseludup keluar ke Thailand.
45 bungkusan plastik berwarna hitam ditemukan diletakkan di kawasan pesisir pantai Kuala Sanglang, dipercayai untuk diseludup keluar ke Thailand.

Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Tambahnya, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Noor Azreyanti berkata, harga pasaran daun ketum mencecah RM180 sekilogram di negara jiran berbanding pasaran tempatan yang hanya bernilai RM40 sekilogram.

Katanya, nilai pasaran yang tinggi di negara jiran dilihat telah menarik perhatian penyeludup untuk terus mencuba pelbagai helah menjalankan aktiviti penyeludupan daun ketum tersebut.

Untuk rekod, rampasan daun ketum berkenaan merupakan yang kelima bagi Zon Maritim Kuala Kedah bagi tahun ini.