Malaysia, New Zealand bersetuju tambah baik AANZFTA

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan New Zealand bersetuju untuk menambah baik Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) serantau yang sedang melalui kajian menyeluruh, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ini susulan daripada pertemuan maya beliau dengan Menteri Perdagangan New Zealand, Damien O’Connor.

“Kami menekankan kepentingan hubungan dua hala serta perdagangan dan pelaburan kami.

“Kami bersetuju untuk memudahkan kerja-kerja menambah baik AANZFTA serantau yang sedang melalui kajian menyeluruh,” katanya dalam hantaran melalui Twitter.

AANZFTA, yang melibatkan 10 negara anggota ASEAN, Australia dan New Zealand mula berkuat kuasa pada Januari 2010. Ia memansuhkan tarif untuk 90 peratus daripada barangan yang didagangkan antara blok itu dan dua negara tersebut.

FTA itu meliputi jumlah penduduk kira-kira 653 juta dan nilai perdagangan melebihi AS$4.3 trilion.

Menurut laman web, aseanbriefing.com, perjanjian itu akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2025, dengan hampir semua perdagangan antara negara-negara ASEAN, Australia dan New Zealand adalah bebas daripada tarif.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia dan New Zealand turut bersetuju mengenai isu pembaharuan, selain memastikan Badan Rayuan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berfungsi berdasarkan naratif memelihara Layanan Istimewa dan Berbeza kepada negara-negara sedang membangun di WTO.

Artikel Berkaitan:

Kata Mohamed Azmin, beliau turut bertukar pandangan dengan O’Connor mengenai mesyuarat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan datang.

Dalam beberapa Tweet lain, Mohamed Azmin berkata, perbincangannya dengan Gabungan Perniagaan AS-APEC - masyarakat perniagaan Amerika Syarikat amat meyakinkan.

Katanya, Aspirasi Pelaburan Baharu yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat menarik lebih banyak pelaburan yang mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat.

“Menjamin pekerjaan dan menjana pendapatan untuk rakyat adalah keutamaan bagi meneruskan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya. - Bernama