X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lagi program 'outreach' galak penduduk Jeli terima vaksin

Mustapa(tiga, kiri) beramah mesra bersama sebahagian penduduk Orang Asli ketika menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin pada Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Kampung Sungai Rual, pada Sabtu. -Foto Bernama
A
A

JELI - Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli akan mengadakan tiga lagi program ‘outreach’ vaksinasi atau khidmat masyarakat bagi memudahkan penduduk di sekitar daerah Jeli mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, melalui program khidmat masyarakat di Kuala Balah, Batu Melintang dan Air Lanas itu nanti, pihaknya akan membantu penduduk mendaftar seterusnya divaksin oleh petugas Pejabat Kesihatan Daerah Jeli di lokasi yang sama.

"Sebelum ini, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Jeli telah mengadakan empat program ‘outreach’ vaksinasi di Pusat Pemulihan dan Rawatan (CCRC) Jeli, Politeknik Jeli, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli dan hari ini program bersama masyarakat orang asli di Kampung Sungai Rual.

"Selain program itu, sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di UMK Jeli, sebagai tambahan kepada sebuah PPV sedia ada di Dewan Majlis Daerah Jeli," katanya ketika ditemui selepas meninjau program berkenaan bersama masyarakat orang asli di Kampung Sungai Rual, pada Sabtu.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mustapa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, pihaknya menyasarkan 200 masyarakat orang asli di perkampungan tersebut akan mendapat suntikan vaksin Covid-19 hari ini.

"Perkampungan ini memiliki kira-kira 1,000 penduduk daripada 207 keluarga. Setakat tengah hari seramai 100 sudah mendaftar, kita sasar hari ini 200 orang akan mendaftar sehingga petang seterusnya diberi suntikan vaksin Covid-19.

"Program ‘outreach’ dilaksanakan di kampung ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk yang sukar untuk ke bandar mendapatkan vaksin, justeru, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli bersama Pejabat Kesihatan Daerah Jeli mengambil inisiatif turun ke bawah," katanya.

Sementara itu seorang penduduk, Ramli Lanas, 52, mengakui ada menerima 'hasutan' supaya tidak menerima vaksin Covid-19 kerana didakwa akan melemahkan diri penerima.

"Tapi saya dah nekad nak teruskan ambil vaksin hari ini, saya jadi individu pertama di kampung ini terima suntikan tadi. Tak ada pun rasa lemah malah rasa lebih selamat lepas ini," katanya. - Bernama

Ramli menunjukkan Kad Peringatan Vaksinasi selepas menerima suntikan pertama vaksin pada Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Kampung Sungai Rual, Jeli pada Sabtu. - Foto Bernama
Ramli menunjukkan Kad Peringatan Vaksinasi selepas menerima suntikan pertama vaksin pada Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Kampung Sungai Rual, Jeli pada Sabtu. - Foto Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!