841,000 penduduk Terengganu divaksin menjelang November

Dr Nor Azimi (berdiri dua dari kiri) melihat proses vaksinasi dilakukan ketika program bantuan (outreach) imunisasi peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mundok, di Setiu, pada Sabtu.
Dr Nor Azimi (berdiri dua dari kiri) melihat proses vaksinasi dilakukan ketika program bantuan (outreach) imunisasi peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mundok, di Setiu, pada Sabtu.
A
A
A

SETIU - Seramai 841,000 penduduk di Terengganu dijangka akan lengkap divaksin dalam tempoh lima bulan iaitu pada November depan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, jumlah itu meliputi 80 peratus dalam kalangan penduduk negeri ini yang disasarkan mencapai imuniti berkelompok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ( PICK).

Katanya, sasaran itu berdasarkan lima strategi yang dirangka bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang sedang dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Seramai 195,340 individu disasarkan menerima vaksin dalam tempoh sebulan sekiranya dos vaksin diterima mengikut jadual. Setakat ini kita ada tambahan 13 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam yang telah beroperasi sejak 1 Jun lalu.

"Seramai 195,340 individu disasarkan mendapat vaksin dalam tempoh sebulan sekiranya dos vaksin diterima mengikut jadual. Setakat ini kita ada tambahan lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PVV) awam sejak 1 Jun lalu menjadikan keseluruhan sebanyak 13 PVV yang beroperasi," katanya ketika ditemui pemberita pada program bantuan (outreach) imunisasi peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mundok, di sini, pada Sabtu.

Selain itu, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri turut berkolaborasi bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menubuhkan sebuah PPV sendiri dalam tempoh terdekat.

"PPV di UniSZA dijangka dapat mengagihkan 1,500 vaksin sehari dan jumlah penerima vaksin dijangka bertambah kepada 3,000 orang sehari pada Julai depan apabila berlaku pertambahan pada dos vaksin yang diterima.

"Di samping itu, kita juga dalam proses mengadakan PPV di masjid terpilih di negeri ini yang akan membantu meningkatkan lagi capaian imunisasi kelompok dalam tempoh singkat,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Nor Azimi berkata, pihak selain meningkatkan jangkauan pemberian vaksin di kawasan pedalaman, pihak kesihatan turut bekerjasama dengan Pengamal Perubatan Swasta (GP) di negeri ini bagi melancarkan proses pemberian vaksin.

"GP juga ada membuat PPV sendiri dan akan menyediakan khidmat suntikan vaksin kepada pesakit mereka. Setakat ini sebanyak 12 GP yang menyatakan kesediaan untuk menjadi pusat vaksin (PVGP)," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sambutan terhadap proses vaksinasi di negeri itu memberangsangkan apabila berlaku lonjakan sehingga 40 peratus individu yang mendaftar untuk menerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera berbanding 20 peratus sebelum ini.

"Sambutan rakyat negeri ini terhadap vaksin menggalakkan termasuk di kawasan pedalaman. Kita lihat tahap kesedaran mereka untuk menerima vaksin juga semakin tinggi.

"Jadi, kita akan terus meningkatkan capaian bagi seluruh lapisan masyarakat untuk mendapatkan suntikan ini termasuk di kawasan pedalaman," katanya.