Selepas Wanita, AMK pula gesa PKR henti kerjasama dengan Dr Mahathir

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus didesak supaya menghentikan sebarang bentuk kerjasama politik dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pada Jumaat, gesaan itu datang daripada perwakilan pada Kongres Nasional Wanita 2020, hari ini gesaan serupa turut disuarakan oleh perwakilan pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2020 yang diadakan secara maya dengan kehadiran 783 perwakilan dari seluruh negara.

Perwakilan Melaka, Remy Lim Wee Han ketika sesi perbahasan ucapan dasar Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, parti perlu menolak kerjasama dengan pemimpin berkenaan secara menyeluruh.

“Suka saya ingatkan kepada pucuk pimpinan parti agar berwaspada dengan Dr Mahathir. Dia juga baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

"Jadi apa lagi yang mahu pimpinan Pakatan Harapan ingin harapkan daripada beliau? Dia sepatutnya sudah bersara tetapi apa motifnya untuk terus aktif... pastinya ada udang di sebalik batu,” katanya.

Perwakilan Pahang, Ahmad Saifullah Razali berkata, usul menolak Dr Mahathir yang dikemukakannya hari ini juga mewakili 14 cabang di negeri berkenaan dan menyenaraikan lima dalil mengapa usul itu perlu diterima.

“Pertama ialah Tun Mahathir telah mengkhianati perjanjian dengan tidak menyerahkan kuasa pemerintahan kerajaan PH kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua, Tun Mahathir tidak memperjuangkan idealisme perjuangan reformasi, ketiga beliau merupakan beban kepada mana-mana parti yang akan beliau sertai.

“Keempat, Tun Mahathir mempunyai sejarah meletak jawatan tanpa berbincang dengan ketua-ketua parti komponen PH dan kelima Tun Mahathir tidak lagi mempunyai idealisme, wawasan dan visi yang jelas untuk terus menjadi pemimpin politik dalam negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi sesi perbahasan usul yang diadakan selepas sesi perbahasan ucapan dasar Ketua AMK, perwakilan Terengganu, Yuslaini Azmi berkata, AMK konsisten dengan pendirian yang tidak akan bersetuju sekiranya ada pihak lain yang ingin menamakan semula Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

“Kita tidak mahu perkara yang sama berulang lagi dan AMK sentiasa konsisten dalam menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Perkara berkenaan turut disahut perwakilan Sabah, Wendy Agung Baruh yang mengingatkan pucuk pimpinan PKR dan PH agar terus memperkukuhkan kerjasama dan tidak mengemis bantuan pihak lain termasuk daripada Dr Mahathir dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Seramai 14 orang pembahas dalam sesi perbahasan ucapan dasar Ketua AMK dan usul hari ini membabitkan soal kesihatan dan vaksinasi, kepimpinan, politik dan darurat, ekonomi anak muda serta pendidikan dalam kongres AMK itu yang bertemakan "Mendukung Prinsip, Mempertahan Demokrasi". - Bernama