Kurangkan penjawat awam: Jangan salah tafsir kenyataan Tun M

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada media di sidang media di Bilik Gerakan PH hari ini. - Foto: SINAR HARIAN/ SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada media di sidang media di Bilik Gerakan PH hari ini. - Foto: SINAR HARIAN/ SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEMENYIH - [DIKEMASKINI] Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta masyarakat tidak salah tafsir kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat jumlah kakitangan awam perlu dikurangkan.

Menurutnya, kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas dan perlu difahami penjelasan diungkapkan beliau.

“Saya tahu ini isu popular, pegawai kerajaan marah jadi PRK DUN Semenyih, mereka tak sokong saya.

“Saya nak beritahu saya tidak akan sokong kalau langkah itu kata esok nak kurangkan, ataupun lima tahun hadapan.

“Mesti ada satu proses dan ini diterangkan perdana menteri secara jelas,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, petang tadi.

Ketika ditanya adakah kenyataan sebegitu akan mempengaruhi sentimen pengundi di DUN Semenyih, Ahli Parlimen Pagoh itu berharap ia tidak menimbulkan sebarang impak negatif.

“Saya harap tidak mengganggu sentimen pengundi tapi perlu penjelasan. Kalau dibaca betul-betul, maksudnya bukan esok nak berhentikan kakitangan kerajaan.

“Ia perlu melalui satu proses perubahan, latihan, teknologi dan macam-macam lagi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Dr Mahathir berkata saiz penjawat awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Menurut beliau, jumlah 1.7 juta penjawat awam ketika ini membuatkan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan yang banyak.

"Apabila saya letak jawatan (pada 2003), jumlah anggota pentadbiran hanya 1 juta. Sekarang sudah meningkat kepada 1.7 juta orang iaitu peningkatan 700,000 orang.

"Ada organisasi 'off the budget' juga mempunyai anggota yang dibiayai kerajaan.

“Saya berpendapat bahawa saiz pentadbiran kita itu terlalu besar," katanya dalam sesi soal jawab bersama warga Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.