JKN Perak kesal pengurusan PPV benarkan potong giliran vaksin

Siaran media Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengenai isu pemberian vaksin di PPV Hilir Perak.
Siaran media Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengenai isu pemberian vaksin di PPV Hilir Perak.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak kesal dengan tindakan pihak pengurusan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Bandaran Teluk Intan kerana membenarkan individu tidak berkenaan menerima vaksin seperti yang tular di media sosial.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, hasil siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan dalam proses kerja apabila pihak pengurusan PPV tersebut telah menerima masuk warga tempatan yang memohon mendapatkan vaksin awal kerana dipanggil semula menyambung pengajian di luar negara tanpa mendapat tarikh janji temu melalui MySejahtera.

Menurutnya, selain itu pihak pengurusan PPV tersebut juga dikesan gagal membuat tapisan secara teliti apabila memberikan vaksin kepada seorang bukan warganegara tanpa sebarang justifikasi membenarkan penerima mendapatkan suntikan awal.

"Pihak pengurusan PPV Daerah Hilir Perak komited dalam memastikan hanya golongan yang layak menerima vaksin dalam fasa 2 diberikan keutamaan menerimanya.

"Oleh itu, proses semakan dan penentuan kelayakan menerima vaksin dipertingkatkan berdasarkan kriteria yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kesihatan Perak siasat dakwaan doktor selit nama penerima vaksin

Lay Ming berkata, pihak pengurusan PPV berkenaan juga telah menyediakan kaunter bagi mereka yang terlepas janji temu untuk mendapatkan tarikh baharu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, JKN Perak akan terus menjalankan pemantauan rapi dan penyeliaan di semua PPV awam bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan mengikut kriteria ditetapkan.

Beliau berkata, orang ramai di negeri ini boleh menyalurkan aduan mengenai sebarang isu di PPV kepada JKN Perak melalui e-mel bgvac19@gmail.com atau menerusi talian 05-2410 252 dan 05-2410 107.

Pada 4 Jun, tular di Twitter mendakwa seorang doktor bertindak menyelit nama penerima vaksin yang tiada dalam senarai.

Perbuatan itu didakwa bukan kali pertama berlaku. Tindakan tersebut menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Sehingga kini ciapan itu telah diciap semula lebih 3,700 pengguna Twitter selain menerima pelbagai reaksi.

Susulan itu, JKN Perak menjalankan siasatan terhadap dakwaan wujudnya tindakan tidak telus melibatkan seorang doktor di PPV berkenaan.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, siasatan dilakukan sebaik pihaknya menerima makluman tersebut.