Lima lembu di Gombak dijangkiti penyakit kulit kental

Lima ekor lembu pedaging di sebuah ladang di Gombak menunjukkan tanda-tanda klinikal dijangkiti penyakit kulit kental (LSD) pada Rabu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ir Izham Hashim)
Lima ekor lembu pedaging di sebuah ladang di Gombak menunjukkan tanda-tanda klinikal dijangkiti penyakit kulit kental (LSD) pada Rabu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ir Izham Hashim)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Selangor mengesan lima ekor lembu pedaging di sebuah ladang di Gombak yang menunjukkan tanda-tanda klinikal dijangkiti penyakit kulit kental (LSD) pada Rabu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, sampel nodul (pembengkakan) dan darah lembu berkenaan diambil dan dihantar ke makmal veterinar untuk ujian pengesahan.

“Ladang berkenaan turut diarahkan untuk mengasingkan ternakan yang sakit, menjalani kuarantin dan tidak memindahkan ternakan keluar atau masuk ladang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Izham berkata, JPV Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sedang mengetatkan syarat import lembu hidup dari negara luar bagi mencegah penularan penyakit tersebut.

Katanya, JPV turut menasihatkan para penternak supaya meningkatkan biosekuriti ladang; mengehadkan bilangan pelawat luar; memusnahkan tempat pembiakan vektor seperti nyamuk, lalat dan agas di sekitar ladang; membuat pengasapan atau 'fogging' serta menghubungi menghubungi Perkhidmatan Veterinar Daerah (PVD) sekiranya ternakan mereka mempunyai gejala LSD.

“Bagi meningkatkan keberkesanan kawalan penyakit LSD di Selangor, kerjasama dengan jabatan dan agensi negeri berkaitan amat diperlukan bagi membantu pihak tersebut.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi penghulu dan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan segera menyalurkan maklumat kepada JPV Selangor sekiranya menemui ladang yang mempunyai gejala tersebut,” katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan penyakit LSD mula dikesan menyerang ternakan lembu di daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor sejak beberapa hari lalu.

Artikel Berkaitan:

Penyakit LSD paling awal dikesan di Bagai Serai, Perak pada Selasa apabila menjangkiti lembu dan kerbau di kawasan berkenaan.