Sasar 70 peratus penduduk divaksin menjelang 31 Ogos

Annuar
Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan sekurang-kurangnya 60 hingga 70 peratus penduduk di Putrajaya, Kuala Lumpur serta Labuan selesai divaksin menjelang 31 Ogos depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha ke arah tersebut giat dilakukan termasuk meningkatkan jumlah pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan turun ke komuniti melalui unit bergerak.

Menurut beliau, Putrajaya telah mencapai 100 peratus pendaftaran, manakala Kuala Lumpur sebanyak 69.4 peratus dan Labuan 59 peratus.

"Jadi langkah pertama yang perlu dilakukan adalah menggesa orang ramai mendaftar vaksin terlebih dahulu.

"Kita tidak mahu 60 peratus orang divaksin dan 40 peratus lagi tidak divaksin," katanya selepas meninjau Program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 di Perumahan Awam Sri Sabah Bandar Tun Razak pada Sabtu.

Annuar berkata, pihaknya telah membuat rayuan kepada PICK untuk mempercepatkan program imunisasi tersebut bagi mencapai sasaran ditetapkan.

"Semua pihak perlu bersedia melipat gandakan program vaksinasi contohnya di Wilayah Persekutuan jumlah harian penerima vaksin di antara 7,000 hingga 9,000 orang.

"Kalau angka ini berterusan, Februari tahun depan baru selesai. Jadi kita setuju kena tingkatkan angka itu kepada empat hingga lima ganda pada Jun hingga Julai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan dijangka bekalan vaksin dalam negara bakal menyaksikan lonjakan ketara apabila Malaysia dijadualkan menerima kira-kira lapan juta dos vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac pada Jun dan Julai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya yakin penambahan bekalan itu bakal mempercepatkan pelaksanaan PICK dan melonjakkan kapasiti pemberian vaksin kepada 150,000 dos sehari bermula bulan ini.