Sindiket perlombongan bitcoin tumpas

A
A
A

PORT DICKSON - Polis menumpaskan sindiket mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin menerusi tiga serbuan di premis berasingan di sekitar Lukut, pada petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan jam 6 petang itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson, D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Special Engagement Against Losses Team, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut beliau, hasil serbuan pertama di Bandar Dataran Segar Lukut, polis merampas 70 unit mesin perlombongan bitcoin di dalam sebuah premis tiga tingkat.

"Dalam dua lagi serbuan di sekitar Lukut Prima, polis merampas 80 mesin perlombongan bitcoin dirampas dengan nilai rampasan keseluruhan di tiga premis itu lebih kurang RM600,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Aidi Sham berkata, Pasukan SEAL TNB telah memotong bekalan elektrik di ketiga-tiga premis tersebut kerana disyaki telah melakukan penyambungan elektrik secara haram untuk menjalankan operasi perlombongan berkenaan.

"Kerugian pihak TNB adalah dianggarkan lebih kurang RM 40,000 sebulan untuk ketiga-tiga premis tersebut dan kegiatan ini dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, turut ditahan dua lelaki berumur 26 dan 27 tahun dan hasil semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan curi.

"Hasil ujian air kencing juga mendapati, mereka positif methaphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek turut dikeluarkan kompaun kerana merentas daerah tanpa alasan yang munasabah di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan kini direman sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat penyambungan elektrik dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana menggunakan bekalan elektrik secara haram.