Kenapa KWP anak tirikan Kepong: Lip Eng

A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang tidak memasukkan kawasan Kepong dan lokasi yang berdekatan dengan Parlimen tersebut untuk ujian saringan Covid-19 percuma.

Menurutnya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, kawasan di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah Kepong dikategorikan sebagai zon merah membabitkan kira-kira 300 kes positif baharu setiap hari.

Beliau berkata, kawasan Kepong juga mempunyai ramai golongan warga emas yang berisiko tinggi untuk dijangkiti virus berkenaan.

“Saya percaya langkah ini akan memberi banyak manfaat kepada rakyat di Kuala Lumpur terutama ketika kes positif Covid-19 semakin meningkat dan ujian saringan yang disediakan agak mahal sekiranya dilakukan secara berkala.

“Bagaimanapun, di dalam senarai yang dikeluarkan oleh KWP, tiada langsung tempat di kawasan Kepong atau kawasan yang berdekatan Parlimen Kepong.

“Apakah perkara ini disengajakan? Program ini dijadualkan selama sebulan, mengapa kawasan Parlimen Kepong tidak disertakan sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Lip Eng mendakwa pernah menggesa KWP mencontohi usaha Kerajaan Selangor dalam mendepani Covid-19 dengan melakukan ujian saringan percuma berskala besar.

"Kita menyarankan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membeli vaksin untuk warga Kuala Lumpur bagi mempercepatkan proses vaksinasi negara.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, penduduk Kepong tidak wajar disisihkan walaupun beliau merupakan Ahli Parlimen pembangkang kerana mereka juga warga Kuala Lumpur di bawah seliaan KWP.

“Sekiranya penduduk Kepong disisihkan daripada program sebegini, bagaimana pula dengan program vaksinasi yang dirancang oleh KWP? Mereka juga pembayar cukai,” katanya.

Pada Khamis, KWP menyasarkan seramai dua juta penduduk khususnya di Kuala Lumpur menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang Oktober nanti.

Annuar berkata, langkah itu bertujuan membolehkan imuniti kelompok dapat dicapai lebih awal bagi melindungi warga kota daripada serangan virus berkenaan.

Katanya, pelbagai usaha sedang dilaksanakan buat masa ini oleh KWP antaranya melalui penyediaan Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah dengan penglibatan beberapa klinik swasta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!