X

Kindly register in order to view this article
!

Gesa segera kaji vaksin kanak-kanak

Rina (empat, kanan) menyampaikan buku mewarna dan mainan kepada wakil PKRC MITC, Dr. Abdul Karim (tiga, kanan) selepas membuat tinjauan di PKRC, MITC di Ayer Keroh, pada Sabtu.
A
A

MELAKA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa kajian penggunaan vaksin dalam kalangan kanak-kanak dapat dipercepatkan dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan golongan itu.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata, lebih 82,000 kanak-kanak dan bayi dijangkiti Covid-19 kini dijangkiti dan daripada jumlah itu mereka berusia 13 hingga 17 tahun paling tertinggi iaitu 33 peratus.

Katanya, terdapat negara luar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Singapura yang telah meluluskan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dan Malaysia juga perlu mengambil peluang itu bagi memastikan angka kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 dapat dikurangkan.

"Sudah ada negara yang memberi vaksin kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun. Contohnya AS, seramai 600,000 kanak-kanak diberikan vaksin selain Singapura.

"Saya menggesa perkara ini dapat dipercepatkan untuk keselamatan dan nyawa kanak-kanak," katanya ketika meninjau Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Latipah Omar dan Pengarah Kebajikan negeri, Burhanuddin Bachik.

Mengulas lanjut Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, kementerian itu juga telah berhubung dengan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mempercepatkan vaksin.

"Sekarang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memberikan fokus kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU), jadi kita harap selepas ini PICK akan memberikan fokus kepada kanak-kanak pula," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berharap Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat menyediakan dan memperbanyakkan rancangan televisyen khas untuk kanak-kanak supaya mereka juga dapat melakukan aktiviti yang bermanfaat sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

"Mereka perlu ada aktiviti ceria dan ibu bapa juga harus memainkan peranan dalam masa sama berkongsi kaedah penjagaan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Pada majlis sama, Rina turut menyampaikan buku mewarna dan permainan kepada kira-kira 147 kanak-kanak yang ditempatkan di PKRC itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!