X

Kindly register in order to view this article
!

193 kenderaan diarah berpatah balik

Sebanyak 193 kenderaan diarahkan berpatah balik menerusi tujuh SJR yang dilakukan oleh pihak polis Temerloh sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh bermula Selasa lalu.
A
A

TEMERLOH - Sebanyak 193 kenderaan telah diarahkan berpatah balik sepanjang tempoh empat hari sekatan perjalanan penuh di daerah itu bermula sejak Selasa hingga Jumaat.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kenderaan yang diarahkan berpatah balik atas pelbagai sebab itu antaranya dokumen tidak lengkap, tiada surat pergerakan tanpa alasan munasabah dan melebihi kapasiti jumlah had dalam kenderaan.

Menurutnya, jumlah tersebut hasil sekatan jalan raya (SJR) di tujuh lokasi di daerah tersebut.

"Jumlah tertinggi dicatatkan sepanjang tempoh tersebut di SJR hadapan Jabatan Kerja Raya (JKR) Temerloh membabitkan 97 buah kenderaan.

"Di enam SJR lain pula, 48 di Chengal, Sri Tualang (18), Rumpun Makmur (9), masing-masing 8 di Plaza Tol Temerloh dan lima di Tanjung Belenggu," katanya pada Sinar Harian, Sabtu.

Ujarnya lagi, sebanyak 23 kompaun dikeluarkan bernilai RM49,000 melibatkan 22 lelaki dan sebuah premis sepanjang tempoh tersebut kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Seramai tujuh individu dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang kerana tidak memakai pelitup muka dan dua lagi individu dikenakan kompaun sama kerana tidak mengimbas kod QR di aplikasi MySejahtera.

"11 individu pula dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 seorang kerana berkunjung ke premis tidak dibenarkan beroperasi dan dua lagi individu dikenakan jumlah kompaun sama kerana merentas negeri atau daerah," ujarnya.

Tambahnya, sebuah premis juga dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana menjalankan perniagaan yang dilarang beroperasi pada tempoh tersebut.

"Setakat ini tahap pematuhan orang ramai adalah sebanyak 97 peratus, namun masih terdapat segelintir penduduk yang masih berdegil terutama golongan remaja yang masih bersiar-siar.

Sementara itu, beliau berkata, pada masa ini pihak polis telah mengenalpasti 12 laluan tikus ke kawasan Mukim Perak dan Mukim Bangau yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 28 Mei lalu hingga 10 Jun ini.

Katanya, sebanyak sembilan jalan tikus telah dipasang penghadang konkrit dan kawat duri manakala tiga laluan lagi yang baru dikenalpasti akan dilakukan penutupan segera.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!