X

Kindly register in order to view this article
!

'Pakai gelang merah jambu, duduklah di rumah'

Polis Kelantan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan kompaun jika ada individu yang cuba melanggar peraturan perintah kuarantin terutamanya mereka yang memakai gelang merah jambu. - Gambar hiasan
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan kompaun jika ada individu yang cuba melanggar peraturan perintah kuarantin terutamanya mereka yang memakai gelang merah jambu.

Ketua Polis, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berterusan melibatkan kesalahan tersebut terutamanya melalui rondaan, snap check dan sekatan jalan raya (SJR).

“Mereka perlu mengemukakan alasan dan bukti yang kukuh kenapa perlu keluar rumah dan sebagainya, kecuali mereka diminta hadir ke mana-mana pusat kesihatan untuk potong gelang dan sebagainya.

“Kami tidak mahu ada yang culas dan cuba-cuba untuk keluar tanpa sebab. Jika tertangkap, kami tidak akan berkompromi. Ini soal nyawa dan keselamatan seluruh masyarakat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurutnya, sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada 1 Jun, dua kes melibatkan kesalahan gagal mematuhi perintah kuarantin dicatatkan iaitu di Kampung Telok Renjuna, Palekbang dan Pulai Chondong.

Shafien Mamat
Shafien Mamat

Katanya, untuk kes di Kampung Telok Renjuna, seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga seorang buruh ditahan pasukan peronda pada 1 Jun semasa membuat rondaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu.

“Kami menahan seorang lelaki yang ketika itu sedang mengemudi bot untuk keluar dari Kampung Pulau Rejuna ke arah Badang Kota Bharu dengan memakai gelang merah jambu.

“Kes kedua pula, pada 3 Jun, seorang peniaga nasi kerabu di Pulai Chondong berusia 35 tahun ditahan kerana didakwa gagal mematuhi arahan kuarantin walaupun memakai gelang merah jambu. Hasil aduan awam itu, dia ditahan pihak berkuasa semasa rondaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Ops Covid-19 Daerah Machang.

“Hasil siasatan awal, mereka keluar tanpa sebab yang munasabah dan dikenakan tindakan sewajarnya. Kami memberi amaran sekali lagi, selagi masih memakai gelang merah jambu, maka patuhlah pada arahan. Jangan ke mana-mana kerana risikonya sangat besar,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai jumlah kompaun yang dikenakan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh 1 Jun lalu, Shafien berkata, sebanyak 73 kompaun dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan terutamanya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Antaranya ialah melibatkan kes rentas sempadan tanpa tujuan yang munasabah, tanpa alasan yang kukuh, termasuklah juga kes rentas yang tidak memiliki kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Selain itu ada juga kesalahan lain seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan sosial dan menaiki kenderaan melebihi had yang dibenarkan.

“Walaupun tahap pematuhan rakyat pada arahan sepanjang tempoh perintah kawalan ini agak memuaskan, namun semua pihak perlu sentiasa berjaga-jaga dan jangan lalai untuk kita teruskan usaha memutuskan rangkaian pandemik Covid-19 ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!