Eksport dadah guna alat permainan kanak-kanak

Mohamad Fakhrudin (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang disembunyikan dalam alat permainan kanak-kanak.
Mohamad Fakhrudin (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang disembunyikan dalam alat permainan kanak-kanak.
A
A
A

PETALING JAYA - Taktik licik sindiket pengedaran dadah menyembunyikan bahan terlarang itu di dalam alat permainan kanak-kanak untuk dieksport ke luar negara terbongkar susulan penahanan tiga warga tempatan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kegiatan itu dikesan selepas menerima maklumat daripada seorang pekerja di sebuah pusat kurier di Petaling Jaya pada Rabu yang menemui empat kotak yang mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mendapati kotak itu mengandungi alat permainan berisi serbuk putih disyaki heroin seberat 408.35 gram.

"Susulan itu, kira-kira jam 12.30 tengah hari, polis telah menyerbu sebuah kedai serbaneka di Batu 9, Cheras pada hari yang sama dan menahan seorang lelaki.

"Dua paket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis heroin ditemui dalam kotak permainan kanak-kanak," katanya dalam sidang akhbar di IPD Petaling Jaya pada Sabtu.

Polis membongkar kegiatan pengedaran dadah yang menggunakan alatan permainan.
Polis membongkar kegiatan pengedaran dadah yang menggunakan alatan permainan.

Beliau berkata, soal siasat kemudian membawa kepada serbuan di sebuah kondominium di Bandar Damai Perdana, Cheras kira-kira jam 1.30 petang dan merampas dua kotak alat permainan mengandungi 606 gram dadah jenis heroin, 0.42 gram syabu dan 0.56 serbuk ekstasi.

Katanya, turut dirampas pelbagai barangan disyaki digunakan untuk membungkus dadah.

Artikel Berkaitan:

"Pada keesokannya (Khamis), dua suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah ditahan di sebuah apartmen di Jalan Kepong, Kuala Lumpur dan Taman Taming Jaya, Balakong.

"Dalam serbuan sama, polis merampas wang tunai RM188,942 dan sejumlah mata wang asing selain beberapa barang termasuk tujuh jam tangan pelbagai jenama dan dua kereta jenis Nissan GT-R35 dan Mazda dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.14 juta," katanya.

Tambahnya, dipercayai kegiatan itu aktif sejak sebulan lalu.

"Siasatan mendapati, kesemua dadah bernilai RM42,455 itu akan diseludup ke luar negara menggunakan khidmat kurier. Suspek juga akan menerima upah RM1,000 bagi setiap bungkusan," katanya.

Ujarnya, kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 32 tahun kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.