JAS Perak sita kawasan tapak projek pertanian

Syarikat terlibat didapati melakukan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan hingga menyebabkan pencemaran Sungai Raia, Ipoh. -Foto Ihsan JAS Perak.
Syarikat terlibat didapati melakukan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan hingga menyebabkan pencemaran Sungai Raia, Ipoh. -Foto Ihsan JAS Perak.
A
A
A

IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menyita kawasan tapak projek agro pertanian seluas 121.7 hektar yang dilaksanakan tanpa kelulusan milik sebuah syarikat di Mukim Sungai Raia, di sini pada Khamis.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, tindakan itu diambil selepas syarikat terbabit gagal mengemukakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk kelulusan.

Menurutnya, syarikat itu juga didapati terus melakukan penerokaan hingga menyebabkan pencemaran alam sekitar.

"Syarikat berkenaan telah diberi peluang untuk mematuhi segala peraturan berkaitan pembangunan pertanian namun, tidak diendahkan sehingga menimbulkan aduan awam.

"Beberapa sesi perbincangan diadakan dalam tempoh setahun namun, pihak penggerak projek masih belum mengemukakan laporan EIA sehingga kini untuk kelulusan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Pemeriksaan bersepadu itu dijalankan JAS bersama PLANMalaysia, Pejabat Daerah dan Tanah Batu Gajah dan Jabatan Perhutanan Perak.

Dua genset ditemui yang tiada kelulusan notifikasi daripada JAS. -Foto Ihsan JAS Perak
Dua genset ditemui yang tiada kelulusan notifikasi daripada JAS. -Foto Ihsan JAS Perak

Mohd Akmal berkata, siasatan mendapati syarikat terbabit telah memperluaskan kawasan agro tani sehingga 40 peratus dalam tempoh itu.

Artikel Berkaitan:

"Kerja-kerja tanah dijalankan tanpa sebarang kelulusan daripada mana-mana agensi kerajaan negeri.

"Penerokaan itu menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius terutamanya isu-isu kelodakan yang berlaku di sepanjang Sungai Raia yang mengalir melalui tapak projek," katanya.

Katanya, sitaan dilakukan setelah mendapat perintah larangan di bawah Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Syarikat terbabit akan didakwa di mahkamah kerana melanggar Seksyen 34A(6) akta yang sama atau jika dikeluarkan Notis Arahan dan kegagalan mematuhinya akan didenda RM1,000 setiap hari kesalahan," katanya.