X

Kindly register in order to view this article
!

Abdul Rahman hero skuad Piala Thomas 1970

Abdul Rahman (duduk, kiri) bergambar bersama rakan-rakannya yang berkunjung ke rumahnya di Seksyen 18, Shah Alam.
A
A

NAMA Abdul Rahman Mohamad, 74, mungkin agak kurang didengari biarpun beliau pernah mewakili skuad badminton Malaysia suatu ketika dahulu.

Namun, aksi Abdul Rahman terutamanya pada pusingan akhir Piala Thomas 1970 di Stadium Negara, Kuala Lumpur pastinya akan tetap dikenang oleh peminat sukan tanah air.

Turun selaku perseorangan kedua selepas mendiang Datuk Punch Gunalan, aksi Abdul Rahman tetap boleh dibanggakan sepanjang kejohanan edisi kelapan itu walaupun Malaysia tewas 2–7 kepada Indonesia pada aksi final.

Biarpun gagal muncul juara, kejayaan Malaysia mara ke pentas final Piala Thomas ketika itu sudah boleh dianggap satu pencapaian yang hebat dan membanggakan.

Namun, semua itu hanya tinggal kenangan yang tidak akan dilupakan dalam sejarah kariernya sebagai pemain apabila Abdul Rahman kini terlantar di rumahnya setelah diserang strok.

Menurut anak lelaki bongsunya, Azlan, 31, Abdul Rahman banyak menghabiskan masa di rumahnya di Seksyen 18 Shah Alam sejak diserang strok beberapa tahun lalu.

Keratan akhbar mengenai Abdul Rahman ketika bergelar pemain badminton Malaysia suatu ketika dahulu.
Keratan akhbar mengenai Abdul Rahman ketika bergelar pemain badminton Malaysia suatu ketika dahulu.

“Buat masa ini abah tinggal dengan saya dan emak di Seksyen 18, Shah Alam. Sejak diserang strok, memang abah tak buat apa, cuma duduk di rumah sahajalah.

“Bagaimanapun, setakat ini abah masih boleh uruskan dirinya sendiri. Kalau nak ke bilik air, abah boleh uruskan sendiri dengan menggunakan kerusi roda.

“Perkara ini secara tidak langsung memudahkan lagi urusan harian kami sekeluarga. Tetapi saya tetap berjaga-jaga dan selalu memantau keadaannya ” katanya kepada Sukan Sinar, baru-baru ini.

Azlan memberitahu, Abdul Rahman yang juga bekas anggota polis pernah berkhidmat selaku jurulatih bagi skuad badminton Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

“Abah memilih untuk bersara awal daripada perkhidmatan polis. Selepas itu, abah memilih untuk menjadi jurulatih badminton di UiTM Shah Alam sebelum bersara sepenuhnya pada pertengahan 1990-an lalu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azlan turut kembali mengimbas detik ketika bapanya berdepan legenda Indonesia, Rudy Hartono pada aksi final Piala Thomas 1970.

“Abah selalu bercerita beliau tidak akan pernah melupakan aksi final Piala Thomas ketika Malaysia menentang Indonesia. Kata Abah, detik itu antara kenangan terindah dalam kariernya.

“Abah sifatkan pengalaman bermain dengan pemain-pemain terbaik dunia seperti Rudy Hartono, Muljadi dan ramai lagi sepanjang kariernya sebagai kenangan yang sukar untuk dilupakan sampai bila-bila,” katanya.

Abdul Rahman kini menetap di No.69, Jalan Rumbia, 18/19, Seksyen 18, 40200, Shah Alam, Selangor dan boleh dihubungi menerusi talian 011-11937619 (Azlan).


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!