Pas depan cakap lain, belakang buat lain: Muhyiddin

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada media di sidang media di Bilik Gerakan PH hari ini. - Foto: SINAR HARIAN/ SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada media di sidang media di Bilik Gerakan PH hari ini. - Foto: SINAR HARIAN/ SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEMENYIH - [DIKEMASKINI] Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas sikap Pas yang ‘depan cakap lain, belakang buat lain’ dalam isu sokongan kepada UMNO dalam PRK DUN Semenyih.

Beliau turut mempersoalkan apakah maksud Pas ketika mengatakan ‘tidak mahu bekerjasama dengan UMNO di Semenyih’ namun mereka dilihat bergerak bersama pula dalam kempen.

Begitupun, Muhyiddin menegaskan PH tidak mudah termakan dengan janji Pas kerana beliau arif dengan sejarah parti tersebut.

“Cuma hakikat, realitinya mereka tidak buat apa yang dia kata. Jadi dalam istilah lain, orang boleh kata munafik.

“Kalau istilah dalam agama, kalau orang cakap lain tapi buat lain, dia berbohong. Saya serah kepada pengundi di sini (Semenyih) untuk tafsir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan beliau tidak risau dengan tindakan Pas kerana mereka bekerja atas nama PH dan tidak terkesan samada Pas menyokong mereka atau tidak.

“Saya tak risau, saya terima kenyataan itu. Kita tak bergantung pada Pas sokong atau tidak kerana kita bekerja atas PH dan kita ada jentera, kerjasama dengan empat parti ada.

Artikel Berkaitan:

“Pas kata apa sekalipun tak bawa apa kesan. Kalau dia sokong satu hal, tak sokong pun satu hal tapi kami bekerja sebagai PH,” tegas beliau.

Ujarnya lagi, tindakan Pas itu menyebabkan timbul persoalan dalam dirinya, ‘adakah Pas sebuah parti yang boleh dipercayai’.

“Jadi kita tahu di mana kedudukan Pas sekarang. Apakah sebuah parti yang boleh dipercayai dan kami dalam PH tak mudah termakan dengan janjinya,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan tidak akan menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih.

Begitupun, kenyataan tersebut dibidas ramai pemimpin Pas dan UMNO malah jentera kedua-dua parti dilihat terus berkempen bersama dalam PRK DUN Semenyih.