Hujan lebat hakis tebing sungai punca air Lata Y keruh

Keadaan air di Lata Y semasa tinjauan Sinar Harian di lokasi tersebut pada Khamis. (Gambar kecil: Abdul Khalim)
Keadaan air di Lata Y semasa tinjauan Sinar Harian di lokasi tersebut pada Khamis. (Gambar kecil: Abdul Khalim)
A
A
A

KUALA KRAI - Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mengesahkan fenomena air keruh atau teh beng (teh ais) yang berlaku di Lata Y pada Rabu berpunca daripada perubahan iklim iaitu hujan lebat bukannya aktiviti pembalakan seperti tular di laman-laman sosial sebelum ini.

Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah berkata, hasil siasatan yang dilakukan pihaknya hujan lebat telah menghakis tebing-tebing sungai di bahagian atas kawasan tersebut selain projek pembangunan ladang hutan seterusnya menyebabkan air di kawasan Lata Y menjadi keruh.

"Hasil semakan di kawasan pelesenan juga telah mendapati bahawa pihak pelesen telah mematuhi segala syarat-syarat yang terkandung di dalam laporan kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, pihak pelesen dilihat tidak melakukan sebarang tebangan pokok berhampiran kawasan 'buffer zone' sungai seluas 50 meter malah mereka telah mengambil inisiatif untuk menambah seluas 10 meter lagi.

Beliau berkata, tindakan itu bagi menjaga kawasan buffer zone dengan tidak melakukan sebarang tebangan di kawasan tersebut.

Abdul Khalim berkata, JPNK telah mengarahkan pihak pelesen supaya memberhentikan kerja-kerja pengusahasilan bagi lesen-lesen aktif tersebut.

Katanya, pelesen juga telah diarahkan supaya menanam pokok kekacang penutup bumi di bahagian tebing jalan yang terhakis bagi mengelakkan hakisan menjadi lebih teruk pada masa akan datang.

"JPNK juga telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mengkaji semula untuk mewartakan kawasan itu sebagai kawasan tadahan air.

Artikel Berkaitan:

"Bukan itu sahaja, kawasan sensitif di kawasan Hutan Simpanan Kekal Sungai Rek mudah tercemar disebabkan aktiviti perhutanan dijadikan sebagai kawasan tadahan air," katanya.

Abdul Khalim berkata, pada 11 Mei 1989 kerajaan negeri menerusi JPNK telah mewartakan tanah seluas kira-kira 15,306 hektar sebagai Hutan Simpak Kekal Sungai Rek.

Katanya, daripada jumlah itu kira-kira 3,782 hektar telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

"Sementara, kawasan tambahan seluas kira-kira 1,490 hektar lagi telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

"Oleh hal yang demikian, jumlah keluasan kawasan di Hutan Simpan Kekal Sungai Rek yang telah dan sedang diwartakan sebagai kawasan tadahan air adalah seluas kira-kira 5,272 hektar manakala selebihnya adalah hutan pengeluaran," katanya.

Sinar Harian pada Khamis lalu, melaporkan, air terjun Lata Y, Sungai Rek di sini yang terkenal dengan kejernihan airnya yang kebiru-biruan bertukar seakan-akan teh beng.

ARTIKEL BERKAITAN:Air Terjun Lata Y macam 'teh beng'