Kerajaan cadang pendaftaran vaksin automatik

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan bercadang melaksanakan proses pendaftaran vaksin Covid-19 secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat divaksinasi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) meneliti semula proses pendaftaran vaksin supaya dapat dipermudahkan.

“Saya mendengar keluhan penduduk di luar bandar, kampung dan pedalaman terutama warga emas yang sukar melakukan pendaftaran dan menerima vaksin.

“Saya telah mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat menggunakan semua aset kerajaan bagi memudahkan mereka menerima vaksin.

“Saya juga telah meminta JKJAV untuk melihat semula proses pendaftaran vaksin agar dapat dipermudahkan lagi termasuk cadangan melaksanakan proses pendaftaran secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat,” katanya sempena Perutusan Khas Berhubung Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, beliau menyedari keresahan bahawa ramai yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin.

Oleh itu, beliau telah mengarahkan JKJAV untuk memastikan mereka yang telah mendaftar melalui semua platform mendapat tarikh janji temu secepat mungkin.

“Sehingga hari ini, hampir 13 juta individu telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Ini hanya 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak menerima suntikan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan: