Diberkas ketika lerai kenderaan curi

Pelbagai peralatan kenderaan yang dilerai ditemui dalam serbuan di sebuah premis barang lusuh haram di Desa Mentari, Petaling Jaya pada Khamis.
Pelbagai peralatan kenderaan yang dilerai ditemui dalam serbuan di sebuah premis barang lusuh haram di Desa Mentari, Petaling Jaya pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menumpaskan kegiatan jenayah curi kenderaan dengan tertangkapnya lima individu termasuk dua warga asing dalam serbuan berasingan di Desa Mentari, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 36 tahun itu ditahan anggotanya daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 12.05 tengah hari.

Menurutnya, dua suspek ditahan ketika sedang meleraikan komponen kenderaan Perodua Kembara di tepi jalan.

"Semakan mendapati, kenderaan itu dilaporkan hilang pada 29 April lalu di Sea Park, Petaling Jaya.

"Hasil soal siasat dan dengan dipandu arah oleh suspek, pihak polis telah menyerbu sebuah premis barang lusuh haram di kawasan sama kira-kira jam 1.40 petang, hari yang sama. Pihak polis juga berjaya menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing yang sedang melerai kenderaan," katanya dalam sidang akhbar di IPD Petaling Jaya pada Sabtu.

Mohamad Fakhruddin menunjukkan antara kenderaan yang dirampas dalam serbuan di Desa Mentari, Petaling Jaya, pada Khamis.
Mohamad Fakhruddin menunjukkan antara kenderaan yang dirampas dalam serbuan di Desa Mentari, Petaling Jaya, pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam premis itu menemui 13 rangka kenderaan yang telah dileraikan termasuk enam daripadanya mempunyai rekod hilang.

Menurut beliau, pelbagai barang lain turut dirampas antaranya tayar dan rim, komponen kenderaan, mesin grinder selain tong roro berisi barangan lusuh.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati, tiga suspek tempatan memiliki rekod jenayah dan dadah. Polis percaya dengan tertangkapnya kesemua suspek terbabit, empat kes curi kenderaan model lama di daerah Petaling Jaya selain lima kes di daerah luar dapat diselesaikan," katanya.

Tegasnya, kesemua suspek direman empat hari sehingga 7 Jun ini untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.