IWK gesa orang ramai kosongkan tangki septik dua tahun sekali

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) menggesa orang awam yang menggunakan tangki septik individu agar mengosongkan tangki septik sekurang-kurangnya dua tahun sekali mengikut saiz tangki dan saiz isi rumah.

Menurut satu kenyataan, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) di bawah Seksyen 65 (1)(c), menyatakan pemilik tangki septik individu perlu mengosongkan, menyelenggara dan menjaga tangki septik tersebut.

"Ini untuk memastikan tangki septik tersebut dapat berfungsi dengan baik dan memulihara alam sekitar. Tangki septik individu yang tidak dikosongkan secara berkala boleh mengancam kesihatan awam," katanya di sini hari ini.

Semalam, seorang penduduk di Taman Rasah, Negeri Sembilan, Novarajaeion, 56, mendakwa alami masalah kesihatan berikutan pembetungan di kawasan tersebut.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai jurutera turut membuat kajian menerusi internet bagi mengenal pasti faktor simptom dialami dan mendapati masalah yang dihadapinya ada kaitan dengan pencemaran.

Pada masa sama, dia yang kini mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Seremban masih menunggu keputusan perubatan.

Dalam pada itu, IWK berkata, pihaknya bersama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melawat ke premis tersebut pada 20 Februari lalu dan mendapati premis itu menggunakan tangki septik individu dan ia berada dalam keadaan baik.

"Mengikut rekod IWK, tarikh terakhir tangki septik tersebut dikosongkan adalah pada 30 Januari 2015," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan pengosongan tangki septik, boleh hubungi pejabat operasi IWK atau layari laman web www.iwk.com.my.

ARTIKEL BERKAITAN: Sistem pembetungan punca udara tercemar?