Kadar vaksinasi dos pertama Malaysia antara tertinggi Asia Tenggara

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi di Asia Tenggara bagi pemberian dos pertama vaksin Covid-19 iaitu melebihi 2 juta penerima.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga kini lebih 3 juta dos vaksin dengan lebih 2 juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin Covid-19.

“Kini kadar vaksinasi dos pertama Malaysia adalah antara tertinggi di Asia Tenggara. Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana bekalan vaksin adalah di luar kawalan kita.

“Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara lain dan bergantung kepada pengeluar vaksin untuk mendapatkan bekalan.

“Bagaimanapun hasil persediaan awal kerajaan, kita telah berjaya menjamin bekalan vaksin yang mencukupi, malah melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini,” katanya sempena Perutusan Khas Berhubung Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), di sini pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, PICK telah pun melepasi 100 hari pelaksanaannya sejak fasa pertama bermula pada 24 Februari 2021, yang menyaksikan barisan petugas hadapan menerima dos pertama vaksin tersebut.

“Alhamdulillah, berkat kerja kuat dan perancangan baik serta usaha bersepadu kerajaan, kita mula menyaksikan roll-out PICK telah berjaya dilaksanakan malah melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Dalam tempoh terdekat ini, saya telah diberi jaminan lebih banyak bekalan vaksin akan tiba. Saya telah mengarahkan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memastikan bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditambah di seluruh pelosok negara bagi mempercepatkan dan mempermudahkan pemberian vaksin kepada anda semua.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, sasaran kita supaya 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini, akan tercapai,” katanya.