Terima kasih Chelsea

Tuchel bersama trofi Liga Juara-juara.
Tuchel bersama trofi Liga Juara-juara.
A
A
A

TIADA apa yang mampu diucapkan oleh pengendali Chelsea, Thoma Tuchel selain ucapan terima kasih apabila kontraknya di Stamford Bridge dilanjutkan sehingga musim 2024 kelak.

Menurut Tuchel lanjutan kontrak berkenaan nyata menggembirakannya walaupun sebelum ini dia tidak pernah memikirkan mengenai perkara berkenaan biarpun membantu The Blues menjulang trofi Liga Juara-juara, musim ini.

“Pada awalnya, kontrak saya hanya selama 18 bulan dan hari ini saya sungguh gembira dan tidak dapat membayangkan saat yang lebih baik untuk lanjutan kontrak ini diumumkan.

“Secara keseluruhannya, saya berterima kasih kerana memberikan peluang kepada saya untuk merasai pengalaman berada di sini (Stamford Bridge) selain berbangga menjadi sebahagian daripada ‘keluarga besar’ kelab ini.

“Namun, sebenarnya bagi saya, perjalanan saya bersama kelab ini masih jauh dan masih banyak yang perlu saya lakukan menerusi cita-cita dan perancangan jangka panjang saya,” katanya.

Tuchel, 47, yang hadir selaku pengendali Chelsea bagi menggantikan Frank Lampard pada Januari telah berjaya mengemudi kelab berkenaan untuk mencatatkan kejayaan terutamanya dengan menjuarai Liga Juara-juara.

Selain itu Tuchel turut membantu Chelsea mara ke final Piala FA sebelum tewas 0-1 kepada Leicester City serta menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada kedudukan keempat dengan 67 mata dengan mencatat 19 kemenangan dan hanya tewas lima kali sejak kehadirannya di Stamford Bridge.

Sementara itu Pengarah Chelsea FC, Marina Granovskaia berkata, Tuchel juga akan diberikan kenaikan gaji serta elaun berdasarkan kecemarlangannya mengemudi The Blues musim ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, biarpun Tuchel hanya menyertai kelab berkenaan pada Januari, namun telah banyak yang telah dilakukan olehnya terutamanya dengan membantu Chelsea melakar beberapa kejayaan terutamanya menjuarai Liga Juara-juara.

“Bagi saya, sejak kehadiran Tuchel ke Stamford Bridge, kami telah melalui musim yang hebat kali ini.

“Selan muncul juara Liga Juara-juara, kami juga telah mara ke final Piala FA selain menamatkan saingan EPL pada kedudukan empat pasukan teratas (top four).

“Atas semua kejayaan inilah kami tidak ragu-ragu menawarkan kontrak lanjutan kepadanya hingga 2024 (mungkin berterusan), kenaikan gaji serta elaun,” katanya.