Moratorium pukal agenda populis berdasarkan pertimbangan sempit

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan keputusan pelaksanaan moratorium pukal tidak boleh dibuat berdasarkan pertimbangan sempit dan kepentingan sementara, semata-mata untuk memenuhi agenda populis.

Jelas beliau, pelaksanaan moratorium secara pukal atau automatik bermaksud bank tidak akan menerima bayaran balik pinjaman untuk dipinjamkan ke pihak lain, namun, masih wajib membayar keuntungan kepada pendeposit.

Tengku Zafrul menambah, keadaan ini akan menggugat kitaran wang dan menunda manfaat ekonomi yang sepatutnya terjana daripada pergerakan modal.

"Kuasa yang terkandung dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), akta-akta yang digubal untuk menyokong kestabilan sektor kewangan, mestilah digunakan kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dengan berhati-hati dan bijaksana, bagi melindungi golongan pendeposit dan juga menjamin kestabilan dan keutuhan sistem kewangan negara.

"Dakwaan mengatakan BNM atau kerajaan boleh sewenang-wenangnya mengarahkan pihak bank untuk meluluskan atau menolak permohonan pinjaman atau menyusun semula pinjaman adalah bertentangan dengan intipati akta-akta ini," katanya melalui satu catatan kolum beliau yang disiarkan Sinar Harian secara eksklusif pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] Jangan guna belantan hanya untuk memukul nyamuk di badan

80 peratus peminjam tidak perlu moratorium pukal: Menteri Kewangan

'Saya lebih rela salur kos pampasan moratorium pukal untuk bantu rakyat'

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, dengan inisiatif pelaksanaan moratorium bersasar dan hanya diberikan kepada mereka yang memerlukan, kerajaan dan BNM bukan sahaja melindungi pendeposit, pemegang saham dan peminjam.

Bahkan, beliau menegaskan kerajaan juga memastikan modal dalam ekosistem pasaran kewangan digunakan dengan cekap demi pertumbuhan ekonomi berterusan, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak.

"Seperkara lagi yang jarang diperkatakan umum adalah tentang pemilikan bank. Siapa sebenarnya pemilik bank-bank di negara? Tentunya, pemegang saham bank tersebut tetapi siapakah pemegang saham yang dimaksudkan di sini?

"Antara pemegang saham terbesar dalam sektor perbankan Malaysia adalah institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Perkeso, Lembaga Tabung Haji, syarikat insurans dan firma pengurusan dana.

"Dalam erti kata lain, ‘pemilik bank’ boleh dikatakan adalah rakyat sendiri menerusi perantaraan institusi seperti KWSP dan PNB," katanya.

Tengku Zafrul turut mengutarakan kebimbangan rakyat sendiri yang akan mendapat hasil dividen yang rendah daripada KWSP, Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji dan lain-lain jika pihak bank kerugian disebabkan pelaksanaan moratorium pukal.

"Pada tahun 2020 sahaja, dari segi dividen, KWSP menerima sekitar RM298 juta dari Kumpulan RHB; manakala PNB menikmati sekitar RM1.3 bilion dari Kumpulan Maybank.

"Jika pihak bank mendapat keuntungan yang rendah, ia akan mengakibatkan pulangan pelaburan yang rendah untuk diagihkan kepada ahli-ahli KWSP dan PNB.

"Justeru, moratorium pukal sebagai penyelesaian kepada cabaran yang kita hadapi hari ini adalah suatu langkah yang tidak wajar, penyelesaian yang terlampau dan perbuatan yang akan merugikan kita sendiri. Ini ibarat pepatah Melayu: marahkan nyamuk, kelambu dibakar," katanya.