X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Bella tidak minta dipuji, risiko jangkitan bukan penghalang

Tiga kenderaan utama yang digunakan Bella, Badariah dan Firdaus untuk mengambil dan menghantar warga emas ke PPV untuk mengambil suntikan masing-masing.
A
A

KOTA BHARU - Semangat membantu masyarakat diterapkan sejak kecil oleh arwah bapa mendorong seorang wanita menjadi sukarelawan yang ikhlas tanpa mengharapkan pujian bagi membantu masyarakat dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

Ratna Salsabella Ismail, 31, antara sukarekawan yang gigih dalam melaksanakan tugas hariannya sekarang ini bagi membawa warga emas ke Pusat Perkhidmatan Vaksinasi (PPV) bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Wanita Muda (Warda) Amanah Kelantan itu berkata, risiko terkena jangkitan Covid-19 bukan penghalang untuknya memberikan khidmat terbaik kepada individu yang memerlukan.

Menceritakan idea untuk melakukan kerja sukarelawan tersebut, Ratna Salsabella yang mesra disapa sebagai Bella memberitahu, ia bermula setelah dia mendapat tahu seramai lebih 10,000 penduduk di Kelantan tidak menerima vaksin seperti dijadualkan.

Didorong oleh perasaan ingin tahu mengenai punca menyebabkan isu tersebut timbul, Bella yang berkesempatan bertemu pihak pengurusan Jabatan Kesihatan Negeri mendapati antara salah satu faktornya adalah tiada kemudahan kenderaan.

"Maka timbul idea untuk saya lakukan kerja sukarelawan ini bagi memastikan mereka menerima vaksin," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Telipot pada Jumaat.

Menurutnya, selepas membuat iklan di laman sosial dan memaklumkan kepada PPV mengenai perkhidmatan sukarelawan tersebut, dia menerima puluhan panggilan setiap hari yang meminta khidmat bantuan untuk golongan warga emas.

Badariah, Bella dan Firdaus sentiasa memastikan kenderaan yang dinaiki disanitasi sebelum dan selepas digunakan setiap hari.
Badariah, Bella dan Firdaus sentiasa memastikan kenderaan yang dinaiki disanitasi sebelum dan selepas digunakan setiap hari.

Katanya, kebanyakan pemanggil adalah anak kepada warga emas yang terlibat terutama mereka yang berada di luar negeri atau luar negara yang tidak dapat pulang susulan Sekatan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan ketika ini.

"Sewaktu pihak PPV hubungi warga emas berkenaan, mereka akan memaklumkan mengenai perkhidmatan percuma disediakan ini. Dari situ mereka (masyarakat) tahu mengenai perkhidmatan kami sediakan, selain daripada hebahan melalui laman sosial Facebook serta aplikasi WhatsApp.

"Bukan itu sahaja, ada di antara mereka yang menghubungi kami masih belum mendaftar dalam Mysejahtera kerana tidak mengetahui cara untuk membuat pendaftaran (terima vaksin).

"Jadi, kami akan membantu mereka dari peringkat mendaftar Mysejahtera, kemudian bawa mereka ke PPV, dan bantu selesaikan semua urusan. Selepas terima suntikan, terus bawa pulang warga emas itu ke rumah masing-masing. Itulah kerja kami bagi membantu setiap warga emas yang menerima perkhidmatan percuma ini," katanya lagi.

Walaupun percuma, namun pemilik Medical Shoes Kelantan itu memberitahu, terdapat segelintir pihak meragui perkhidmatan tersebut sehingga ada yang membuat andaian negatif.

Bella berkata, namun dia bersama abangnya Ahmad Firdaus Ismail, 37, dan isterinya, Nor Badariah Mohd Din Ismail, 31, tidak pernah menganggap ia sebagai pematah semangat untuk mereka bertiga meneruskan kerja kebajikan tersebut sebaik mungkin.

Ujar wanita itu lagi, kenderaan yang digunakan akan disanitasi selepas selesai tugasan bagi memastikan mereka bertiga tidak terdedah risiko jangkitan pandemik tersebut.

Pasir Mas, Bachok dan Tumpat antara lokasi mereka 'bertugas' dengan membawa antara enam dan lapan warga emas sehari.

Bella yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia pernah dianggap sebagai jururawat oleh seorang warga emas.

"Seorang warga emas menyangka saya jururawat. Dia tanya saya, lepas cucuk ni mokcik (mak cik) bulih (boleh) mandi ko (ke)? Bulih make (makan) nasi ko misi?

"Mereka tidak didedahkan maklumat sebenar dan ia menjadi salah satu tanggungjawab kami untuk memberi pendedahan dan maklumat sebelum dan selepas mereka mengambil suntikan vaksin tersebut.

"Semua maklumat kami dapat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diberitahu kepada mereka supaya tiada persepsi negatif timbul sebelum dan selepas ambil suntikan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!