Undang-undang boleh diwarta dalam seminggu

Gambar hiasan. Gambar kecil: Nik Ahmad Kamal
Gambar hiasan. Gambar kecil: Nik Ahmad Kamal
A
A
A

SHAH ALAM - Proses pewartaan undang-undang terhadap golongan antivaksin yang menghasut orang lain supaya menolak vaksin tidak memerlukan masa yang lama dan paling cepat dalam tempoh seminggu semasa tempoh darurat sekarang.

Pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kerajaan juga mempunyai dua pilihan untuk mewartakan undang-undang tersebut sama ada meminda undang-undang sedia ada atau menggubal ordinan darurat baharu.

Menurutnya, dalam tempoh darurat sekarang lebih mudah untuk pewartaan undang-undang kerana kerajaan boleh meminda undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kata beliau, pindaan juga boleh dilakukan di bawah akta Kanun Keseksaan (KK) atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang difikirkan bersesuaian.

“Setakat ini, Akta 342 sudah beberapa kali dipinda termasuk melibatkan kenaikan kadar kompaun.

“Kalau tidak mahu pinda undang-undang, kerajaan boleh perkenal ordinan baharu dan ordinan itu perlu didraf dahulu,” katanya kepada Sinar Harian, Jumaat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin di Malaysia jika golongan itu didapati menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Buat masa ini, golongan antivaksin dilaporkan hanya boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan berita palsu. Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Kes berita palsu juga boleh disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dan denda. Sementara itu, Nik Ahmad Kamal menambah, pindaan atau cadangan ordinan baharu hanya perlu dipersetujui dan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

“Proses itu tidak memakan tempoh lama kerana ia bergantung kepada berapa lama tempoh diambil Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk siapkan draf ordinan baharu atau draf cadangan pindaan akta.

“Sejak tempoh darurat berkuat kuasa beberapa pindaan dan ordinan diluluskan dengan segera tanpa memakan masa lama seperti kenaikan nilai kompaun bawah Akta 342,” katanya.Jelasnya, tindakan kerajaan mengkaji mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin itu mempunyai kewajarannya kerana isu vaksinasi berkait dengan isu kesihatan awam dan ekonomi negara.

Tegasnya, dalam situasi negara ketika ini, isu vaksinasi mengatasi kebebasan rakyat untuk memilih divaksin atau tidak kerana imuniti berkelompok sangat penting untuk Malaysia.