Jiwa muda rapuh terjebak dadah

Gambar dari kiri: Jai, Lisa
Gambar dari kiri: Jai, Lisa
A
A
A

PENYALAHGUNAAN dadah menjadi isu besar di Malaysia. Umum mengetahui kesannya boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan fizikal, mental, emosi dan tingkah laku.

Lebih memeritkan, penyalahgunaan dadah ini menyebabkan pelakunya ketagihan dan membuatkan mereka terus bergantung hidup kepada dadah.

Penyalahgunaan dadah yang berleluasa kini bukan sahaja melibatkan golongan dewasa tetapi juga remaja yang masih bersekolah.

Ditambah pula dengan kewujudan pelbagai jenis dadah sintetik yang semakin berleluasa. Keadaan ini menyebabkan remaja dan pelajar-pelajar sekolah sentiasa berisiko terdedah dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Tekanan

Pembimbing Rakan Sebaya AADK Gombak, Rohaizan Suhaili berkata, faktor berlakunya penyalahgunaan dadah antaranya adalah disebabkan tekanan yang dihadapi seperti masalah peribadi, keluarga dan kerja.

“Apabila tekanan emosi berlaku secara keterlaluan, seseorang itu akan mengalami kemurungan sehingga tidak mampu berdepan dengan tekanan tersebut.

“Akhirnya, sebagai jalan penyelesaian mereka mengambil jalan mudah dengan menjadikan dadah yang membolehkan mereka melupakan tekanan yang dihadapi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Rohaizan, individu itu perlu berhadapan dengan punca masalah, mereka perlu berterus terang serta berbincang dengan keluarga.

“Individu itu perlu meluahkan perasan dengan keluarga untuk menangani isu tekanan yang dialami,” katanya.

Beliau berkata, faktor lain berlakunya penyalahgunaan dadah adalah dipengaruhi oleh rakan sebaya.

Rohaizan
Rohaizan

“Rakan merupakan orang terdekat kepada remaja selepas keluarga. Mereka kerap menghabiskan masa bersama rakan-rakan berbanding dengan ahli keluarga.

“Mereka akan mengikut dan melakukan perkara tidak berfaedah dengan rakan tersebut tanpa menyedari kesan buruk pengambilan dadah,” katanya.

Menurutnya, individu itu juga harus berwaspada ketika pergi ke tempat hiburan atau melakukan aktiviti sosial bersama rakan.

“Individu berkenaan harus berhati-hati dengan siapa mereka bergaul kerana mungkin rakannya itu ada niat tidak baik lalu mencampurkan dadah dalam minuman atau rokok,” katanya.

Tegas beliau, remaja juga perlu mempunyai batas dalam hubungan kawan.

“Jangan pilih kawan yang berperangai tidak baik. Kita pun akan terikut-ikut sama perangai tidak baik itu. Jika individu berkenaan sudah mula ketagih dadah, sukar untuk melepaskan diri,” katanya.

Pemadam giat laksana kempen

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia giat melaksanakan kempen serta program pencegahan dadah dalam komuniti.

Setiausaha Kehormat Pemadam Selangor, Daeng Muhammad Reduan berkata, pihaknya berperanan mendidik masyarakat berhubung penyalahgunaan dadah.

“Kita turut melakukan kempen bagi pelajar di sekolah dan universiti kerana golongan itu terdedah dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Menurut Daeng Muhammad, program yang dilaksanakan mengikut trend terkini khusus untuk generasi millennial.

“Program yang dilaksanakan ialah #‘Jangan Try, Nanti Barai’ dan ‘Stay Young, Stay Clean’ serta ‘Jika Kita Try Dadah, Pasti Kehidupan Kita Akan Barai’,” katanya.Daeng Muhammad berkata, pihaknya turut menubuhkan Skuad Penerangan Komuniti (Speak) Pemadam Selangor sebagai ejan penerangan bagi membantu kempen pencegahan dadah di peringkat akar umbi.

“Seramai 22 ejen Speak akan berkolaboratif dengan Pemadam daerah dan komuniti dalam usaha melaksanakan kempen pencegahan dadah,” katanya.

Beliau menjelaskan, 22 ejen Speak itu terdiri daripada golongan muda yang terlatih serta memahami masalah yang dialami oleh individu sebaya mereka.

“Kita lantik golongan muda di setiap 22 Parlimen di Selangor agar mereka dapat menyampaikan maklumat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

“Mereka akan turun padang di kawasan hot spot

atau memberi ceramah di sekolah supaya tiada lagi penagih dadah baharu,” kata beliau.

KES 1

Bekas penagih dadah, Puteri (bukan nama sebenar), 26, mengimbau kembali detik hitamnya terjeremus dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak usia 12 tahun kerana tertekan dengan masalah keluarga.

“Ibu bapa saya telah bercerai, akibat daripada itu ibu saya pula hampir membunuh diri.

“Pada ketika itu, hidup saya tidak terurus serta tidak fokus dalam pelajaran. Saya mengambil dadah kononnya mahu menghilangkan tekanan tanpa memikirkan kesan buruknya,” katanya.

Puteri mendedahkan, bekas teman lelakinya juga terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan.

“Dia merupakan ‘tukang masak’ dadah, malah tugas saya adalah ‘merasa’ dadah yang diproses sebelum ia diedarkan kepada penagih dadah,” ujarnya.

Puteri berkata, dirinya juga pernah dikehendaki oleh pihak berkuasa berkaitan kes jenayah baru-baru ini.

“Saya kemudian telah ditangkap dan dipenjarakan dalam tempoh sebulan. Kini saya dalam pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi rawatan pemulihan,” katanya.

KES 2

Seorang lagi bekas penagih dadah, Lisa (bukan nama sebenar), 19, memaklumkan bahawa dia menjadi penagih dadah atas faktor keinginan mahu mencuba bahan itu serta pengaruh rakan sebaya.

“Saya terjebak dengan aktiviti penagihan dadah pada usia 14 tahun. Pelbagai jenis dadah saya cuba, antaranya ialah eramin 5, ganja dan ice,” katanya.

Ujar Lisa, dia mengambil dadah tersebut dalam aktiviti parti liar di ibu kota.

“Saya pernah ditangkap polis dalam parti liar itu. Selepas dijatuhi hukuman penjara dua hari, saya terlibat dengan pengawasan AADK untuk pemulihan.

“Saya kini nekad untuk berubah dan tidak mahu mengambil dadah lagi. Keluarga memberi dorongan dan sokongan untuk saya meneruskan kehidupan,” ujarnya.

KES 3

Seorang lagi bekas penagih dadah, Jai (bukan nama sebenar), 25, berkata, dia pernah koma selama dua hari dalam kemalangan akibat menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah.

“Sebelum kejadian, saya menghisap dadah jenis ice. Kesannya, saya tidak dapat tidur selama lima hari. Akibatnya saya tertidur ketika menunggang motosikal dan berlaku kemalangan.

“Saya juga sering kali berhalusinasi dan terdengar bunyi seperti ada orang ketuk pintu bilik. Pada ketika itu hanya sendirian berada di rumah. Ia mungkin kesan pengambilan dadah berkenaan,” ujarnya.

Jai mengakui dia mula berjinak-jinak dengan dadah jenis heroin pada usia 15 tahun.

“Kesan penagihan dadah heroin menyebabkan badan saya kerap sakit. Kini AADK banyak membantu merawat agar saya tidak kembali menjadi penagih dadah tegar,” katanya.

Aduan ketika PKP meningkat

Seramai 16,336 orang kena pengawasan AADK dilaporkan menjalani rawatan pemulihan dalam komuniti sejak tiga tahun lalu. Daripada jumlah itu, seramai 4,801 orang merupakan penagih dadah berulang.

Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) AADK Malaysia, Dr Nazira Sadiron memaklumkan, pihaknya tidak pernah berhenti daripada menjalankan operasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita melihat trend peningkatan aduan sebanyak 30 peratus di Selangor, dua minggu selepas pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu.

“Ia kerana keluarga atau pasangan tahu bahawa ada individu dalam keluarga mereka telibat dengan penagihan dadah,” katanya.

Beliau yang merupakan bekas pengarah AADK Selangor berkata, seramai 3,600 orang ditangkap dalam pelbagai operasi pada tahun 2019.

“Namun pada tahun lalu pula, seramai 3,138 orang ditangkap dalam operasi aduan sahaja, manakala seramai 375 orang ditangkap pada awal tahun ini hingga Mac lalu,” katanya.

Menurutnya, tangkapan atau penguatkuasaan AADK adalah untuk merawat individu yang enggan datang secara sukarela.

“Penagih dadah tegar merupakan individu yang telah relapse beberapa kali (penggunaan semula dadah selepas seseorang penagih dadah berhenti mengambilnya untuk sesuatu tempoh).

“Selain itu, penagih dadah yang mengulangi tingkah laku penagihan selepas mereka tamat menjalani rawatan atau mereka kerap berada dalam radar AADK dan seterusnya kita tangkap untuk dia mendapatkan rawatan,” katanya.

Ujar beliau, seramai 19 orang berusia bawah 13 tahun ditahan pada tahun 2019, manakala pada tahun lalu seramai 16 orang usia yang sama telah ditahan.

“Kita percaya mereka mengambil dadah seawal usia 10 tahun, kesemua mereka menjadi penagih dadah berada di kawasan hot spot,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, dadah dan masalah kesihatan mental saling berkaitan.

“Individu yang menyalahgunakan dadah sintetik seperti syabu atau methamphetamine, mereka boleh berhadapan dengan masalah kesihatan mental,” katanya.

Nazira berkata, pihaknya telah merangka pelbagai program untuk menangani isu penagihan dadah.

“Kita melaksanakan program psikososial yang memberi penekanan kepada pencegahan relapse.

“Setiap individu akan diajar apa perkara yang trigger (satu proses cetusan pemikiran ketagihan menggunakan dadah) individu itu untuk mengambil dadah,” katanya.

Tambah dos untuk keseronokan

Nazira menjelaskan, setiap individu itu mempunyai bentuk trigger yang berbeza seperti faktor tekanan, sekadar mahu mencuba dan pengaruh kawan.

“Penagihan bermaksud individu itu perlu menambah dos setiap hari untuk mendapat kesan keseronokan atau mereka terputus bekalan (dadah) individu itu akan berhadapan dengan kesakitan,” katanya.

Menurutnya, AADK Selangor memfokuskan Projek Rintis sejak tiga tahun lalu di kawasan berisiko tinggi.

“Projek Rintis itu adalah tindakan kolaboratif bersepadu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.

“Hasilnya, kita dapat melihat ada perubahan yang sangat bagus di dua lokasi Projek Rintis di Sabak Bernam dan Hulu Selangor yang berjaya dihijaukan,” ujarnya.

Kata beliau, AADK Selangor menyasarkan 13 kawasan berisiko tinggi disenaraikan dalam Projek Rintis pada tahun ini.

“Antara kawasan itu adalah mukim Petaling, Damansara, Kajang, Semenyih, Batu 9 Cheras, Ampang, Pandan, Klang, Batu, Setapak, Jugra, Telok Panglima Garang dan Tanjung Dua Belas,” katanya.

Nazira berkata, pihaknya juga melihat penagih dadah yang tidak mempunyai sokongan kuat daripada keluarga atau individu lain untuk membantu klien iaitu penagih dadah pulih.

“Banyak kejayaan bekas penagih dadah yang sudah pulih serta survive dalam isu penyalahgunaan dadah mendapat sokongan keluarga masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, keluarga serta pasangan klien akan dipanggil dalam program holisitik untuk diajar bagaimana berhadapan dengan penagih dadah itu.

“Kita juga memastikan setiap klien untuk tidak relapse agar mereka mempunyai pekerjaan, selaras dengan program Hijrah iaitu meluaskan lagi peluang penempatan pekerjaan bagi klien.

“Penyalahgunaan dadah dan penagihan dadah ialah masalah yang harus ditangani bersama, maka sewajarnya masyarakat memainkan peranan masing-masing untuk membasminya,” katanya.

Selain penguatkuasaan undang-undang yang ketat oleh kerajaan, pemulihan juga adalah satu alternatif untuk mengurangkan kadar pengagihan dan pengambilan semula dadah.

“Masyarakat serta keluarga juga perlu menerima bekas penagih yang sudah insaf untuk meneruskan kehidupannya,” kata beliau.

Program Community Empowerment dianjurkan AADK Daerah Hulu Langat dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal dan KRT Kajang Utama.
Program Community Empowerment dianjurkan AADK Daerah Hulu Langat dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal dan KRT Kajang Utama.