X

Kindly register in order to view this article
!

Kabinet kena ikut sains dan data, bukan dengar cakap pelobi

Gambar dari kiri: Ismail Sabri Yaakub, Mohamed Azmin
A
A

SHAH ALAM - Jemaah kabinet perlu tegas melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 'total lockdown' sepenuhnya berlandaskan data kajian dan sains dan tidak sekadar mendengar cakap pelobi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, kerajaan tidak boleh menangguhkan lagi pelaksanaan PKP 'total lockdown' mencontohi PKP 1.0 kerana langkah PKP 'partial total lockdown' dikemukakan sekarang terbukti tidak berkesan memutuskan penularan Covid-19.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mencontohi pendekatan beberapa negara seperti Singapura dan Australia yang pantas melaksanakan 'total lockdown' secara menyeluruh sekalipun peningkatan kadar jangkitan belum mencecah angka tiga digit.

"Tiada masalah kalau mana-mana menteri hendak bergaduh, menjerit dan menghentak meja sewaktu mesyuarat kabinet berlangsung kerana itu hak semua anggota Jemaah Kabinet untuk melontarkan pandangan masing-masing.

"Namun, Emir Research berpandangan kabinet kena tunjukkan sifat kebertanggungjawaban secara bersama setelah satu keputusan dibuat dengan ia tidak boleh diterima secara 'half-hearted'.

"Sebagai contoh, bila kabinet memutuskan PKP 'total lockdown' dilaksanakan, ia perlu dijayakan sepenuhnya dengan mana-mana pihak tidak boleh membuat keputusan lain di luar mesyuarat kabinet," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus isu ketidaksepakatan antara menteri-menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu membincangkan permohonan bagi kebenaran syarikat-syarikat untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 'total lockdown' ketika ini.

Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff
Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff

Spekulasi itu timbul apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa berbalah antara satu sama lain dalam satu mesyuarat Kabinet, sebelum ini.

Hal ini susulan tindakan saat akhir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mengawal permohonan bagi kebenaran kilang-kilang untuk beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh PKP, termasuk kebenaran syarikat arak beroperasi yang kemudiannya diarahkan tutup oleh Ismail Sabri.

Perbalahan juga dipercayai menyebabkan Ismail Sabri menaikkan hantaran memaparkan gambarnya sedang menutup pintu pejabat, diiringi dengan kata-kata "Saya dah tutup pintu depan tapi...” disertai dengan emoji sedih di laman Facebooknya, pada Rabu.

Dalam pada itu, Rais Hussin turut menyifatkan langkah MITI membenarkan sehingga 128,000 syarikat beroperasi meliputi hampir 1.5 juta pekerja sepanjang PKP 'total lockdown' adalah tidak wajar pada saat kes jangkitan Covid-19 semakin membarah dengan fasiliti kesihatan hampir mencapai tahap optimum.

Jelas beliau, pada saat genting ini, MITI perlu menfokuskan pembukaan sektor perkilangan khidmat perlu semata-mata dengan langkah itu dijangka tidak memberi kesan besar kepada ekonomi kerana tempoh penutupan hanya melibatkan 14 hingga 21 hari sahaja.

"Sebab itu, EMIR Research sebelum ini mencadangkan pelaksanaan PKP 'total lockdown' perlu diselami pemberian bantuan 'safety belt' kepada rakyat seperti pemberian subsidi upah pekerja, moratorium automatik dan pinjaman mikro bagi membela nasib mereka terjejas akibat penutupan keseluruhan sektor ekonomi.

"Dengan kerajaan perlu mempertingkatkan kadar pengagihan bekalan vaksin kepada rakyat, negara perlu memutuskan segera rantaian penularan Covid-19 bagi memastikan ekonomi negara tidak lagi bersifat 'sekejap tutup, sekejap buka'.

"Kita lihat usaha kerajaan menyediakan bantuan 'safety belt' kepada rakyat melalui pakej Pemerkasa Plus dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Covid-19) berada di landasan betul. Cuma pada kali ini, pelaksanaan PKP total lockdown juga perlu dibuat bersungguh-sungguh," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!