X

Kindly register in order to view this article
!

CIDB atau MITI?

A
A

KADANGKALA saya terfikir juga, susah sangat ke kerajaan hendak buat keputusan, perkhidmatan mana yang perlu dibuka atau ditutup.

Baru-baru ini pun kelam kabut juga dibuatnya. Apabila dengan tiba-tiba diumumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengambil peranan untuk memberi kelulusan untuk industri pembinaan. Saya rasa mesti CIDB pun tercengang dan panik. Itu yang menyebabkan sistem dalam talian tergendala dan tidak boleh diakses.

Saya terfikir juga adakah kerajaan masih belum belajar daripada pengalaman lepas? Seolah-olah bak kata pepatah ‘belum tahu pedas di lada’. Masih tidak tahu apa yang patut dilakukan.

Menunjukkan kegagalan dalam menanganinya dengan lebih berkesan walaupun rujukan pengalaman lepas, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0) telah dilakukan dengan jayanya.

Tetapi untuk PKP 3.0 ini, yang katanya penutupan sepenuhnya aktiviti, masih kelam kabut.

Terutama melibatkan mereka yang perlukan surat kelulusan bekerja dalam perkhidmatan perlu untuk merentas negeri dan daerah, memandangkan ramai yang tinggal di luar kawasan.

Seorang rakan pejabat menelefon saya bertanya: “Kita perlu mohon kepada siapa? Nak pakai surat mana? CIDB atau MITI?”

“CIDB, CIDB, mohon dengan CIDB,” kata saya ketika mendapat maklumat tentang kenyataan media dari Kementerian Kerja Raya.

Tidak berapa lama kemudian, keesokannya selepas bermesyuarat sepanjang hari agaknya, saya mendapat maklumat baru hampir jam 7 malam, ada perubahan pula.

Rakan pejabat sekali menelefon: “Yang mana pula ni, CIDB atau MITI?”

“MITI, MITI, mohon semula pada MITI. Ikut prosedur sebelum ni,” kata saya dengan penuh semangat.

Rakan pejabat saya yang bertanggungjawab membuat permohonan telah berjaya mendapat surat dari MITI. Surat tersebut diedarkan kepada pekerja yang perlu bekerja.

Memandangkan kami pekerja lebuh raya dalam kategori perkhidmatan perlu, maka perlulah memastikan lebuh raya dalam keadaan baik, terutama dari segi operasi dan penyelenggaraan untuk keselamatan pengguna. Maka surat kelulusan ini amat penting untuk diperoleh dengan secepat mungkin.

Namun semalam, rakan pejabat yang bertanggungjawab memohon kelulusan memberitahu lagi: “Kena tukar, kena tukar. Surat lulus sebelum ni tak boleh pakai. Sebab sebelum ni pakai perkara (16), sekarang kena pakai perkara (15) pula,” katanya dengan nada cemas.

“Kena mohon baru lagi? Tanya saya agak berang juga.

“Ya, mohon baru,” katanya.

Begitulah tuan, puan, walaupun kita sudah ada pengalaman PKP 1.0, tetapi nampaknya pengalaman itu hanya sia-sia sahaja. Tidak diambil pengajaran dan iktibar.

Sepatutnya untuk PKP 3.0 ini, mengikut logik akal yang waras, boleh sahaja memakai kembali syarat PKP 1.0. PKP 1.0 boleh dikatakan berjaya untuk kita mengekang wabak sebelum musibah pilihan raya di Sabah yang merosakkan segala-galanya.

Rujuk semula dengan menggunakan senarai perkhidmatan perlu mengikut PKP 1.0. Tatacara permohonan juga boleh mengguna pakai sistem MITI semula. Tidak perlu kelam kabut, sekejap CIDB, sekejap MITI.

Rakyat jelata juga akan jelas dengan arahan ini. Maka tidaklah sistem CIDB tiba-tiba tergendala dan tidak boleh diakses.

Kalau perlu perubahan syarat atau prosedur, boleh sahaja ditambah baik secara berperingkat dahulu. Contohnya jika perlu membatalkan atau menambah perkhidmatan perlu yang boleh beroperasi, maka boleh dilakukan dengan mudah.

Paling penting kelancaran dalam melaksanakan setiap arahan. Bukannya berbolak-balik. Rakyat jelata pun boleh hilang akal dibuatnya.

Benarlah seperti katanya Syed Hussein Alatas dalam buku Intelektual Masyarakat Membangun, kita sebenarnya kekurangan orang intelektual. Orang intelektual ini tidak mestinya orang yang mempunyai kelulusan tinggi.

Tetapi orang yang tahu berfikir, menggunakan ilmu yang ada, untuk menyelesaikan masalah. Kata beliau lagi, dengan ilmu apabila diadunkan sifat intelektual maka, dapatlah kita menyelesaikan segala masalah yang datang.

Kalau ada ilmu, tetapi tidak boleh berfikir, maka, jadilah seperti pemimpin jadong!

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!