X

Kindly register in order to view this article
!

Penunjuk perasaan di Myanmar diajar ilmu pertempuran

Gambar fail menunjukkan seorang aktivis antirampasan kuasa tentera menjalani latihan asas pertempuran di sebuah kem milik Kesatuan Kebangsaan Karen di dalam hutan negara itu. - Foto AFP/STR
A
A

BUNYI tembakan dan jeritan penuh semangat memecahkan kesunyian di dalam sebuah hutan di timur Myanmar ketika sekumpulan pemuda berlatih ilmu tempur ala tentera.

Mereka sanggup 'berkampung' di hutan demi menggulingkan pihak tentera negara itu yang melakukan rampasan kuasa di Myanmar pada Februari lalu.

Seorang pemuda dilihat melepaskan tembakan di satu sasaran yang telah dicatatkan pada sebatang pokok dengan menggunakan selaras raifal manakala sejumlah individu lain menunggu giliran di belakangnya bagi melakukan perbuatan yang sama.

Kumpulan lelaki itu telah melarikan diri dari bandar-bandar utama di Myanmar dan berkumpul semula di dalam hutan yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak. Tetapi kali ini mereka berlatih untung menentang tentera.

"Kami tidak pernah mendengar bunyi tembakan (sebelum rampasan kuasa tentera)," kata pemuda tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Min dan tidak menggunakan nama sebenarnya kepada AFP.

Dia berkata demikian di sebuah kem latihan yang tersembunyi di dalam kawasan hutan berbukit di negeri Karen bersempadan dengan Thailand.

Namun, selepas empat bulan pihak tentera menyingkirkan pemimpin parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi dan menyuraikan secara liar penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa sehingga mengakibatkan ratusan orang terbunuh, pemuda berusia 23 tahun itu kini sudah biasa dengan bunyi tembakan.

"Senjata api akan menamatkan pemerintahan diktator tentera di negara kami," kata Min yang tidak berharap lagi kepada gerakan protes dan demonstrasi.

Ramai penunjuk perasaan antirampasan kuasa tentera berkongsi kemarahan pemuda tersebut.

Beberapa aktivis antirampasan kuasa tentera menyertai latihan pertempuran di dalam hutan di negeri Karen, timur Myanmar pada Mei lalu. - Foto AFP/STR
Beberapa aktivis antirampasan kuasa tentera menyertai latihan pertempuran di dalam hutan di negeri Karen, timur Myanmar pada Mei lalu. - Foto AFP/STR

Beberapa penganalisis mengesaki bahawa ratusan orang telah memasuki kawasan hutan yang dikuasai oleh kumpulan-kumpulan pemerontak untuk mendapatkan latihan dan ilmu bertempur.

Pada bulan lalu, seorang aktres dan bekas ratu cantik Myanmar, Htar Htar Htet menyiarkan satu gambar di Facebook yang menunjukkan dia memakai pakaian tempur dan membawa selaras raifal.

"Inilah masa untuk kami melawan balik," kata Htet iaitu seorang pengajar gimnastik yang pernah mewakili Myanmar dalam pertandingan ratu cantik Miss Grand International di Thailand.

Sebelum ini pun, tentera negara tersebut telah bertempur dengan kumpulan-kumpulan pemberontak sejak Myanmar mencapai kemerdekaan dari Britain pada tahun 1948.

Menurut seorang penganalisis yang pernah menjadikan negara tersebut sebagai ibu pejabatnya, David Mathieson, satu pertempuran dengan pihak tentera dipercayai akan berakhir dengan pertumpahan darah.

Namun, beliau mempersoalkan keberkesanan taktik kumpulan pemberontak di kawasan pergunungan dan hutan apabila berlakunya pertempuran dengan pihak tentera di bandar-bandar Myanmar.

Katanya, ketika latihan di dalam hutan mendewasakan pengalaman secara peribadi, ia tidak akan mengubah seseorang untuk menjadi seorang pengendali peperangan di bandar.

Dalam pada itu, para sukarelawan itu berlatih dengan menggunakan taktik pertempuran di hutan dengan akan berehat di atas katil kayu dan kadangkala memeriksa telefon bimbit masing-masing.

Pengajar mereka ialah anggota-anggota kumpulan Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) iaitu salah sebuah daripada lebih 20 buah kumpulan pemberontak yang saling mempunyai hubungan bermasalah antara satu sama lain.

Beberapa kumpulan pemberontak itu mengutuk rampasan kuasa tersebut dan menawarkan perlindungan kepada individu-individu yang menentang rampasan kuasa itu selepas pihak tentera melancarkan tindakan keras bagi memerangi tunjuk perasaan antirampasan kuasa tersebut.

Individu-individu yang menentang rampasan kuasa itu hanya memakai selipar berbanding kasut dalam latihan tersebut.

Bagaimanapun, seorang jurucakap kumpulan KNU enggan memberikan komen tentang jumlah penunjuk perasaan yang telah dilatih untuk bertempur dengan pihak tentera itu.

Seorang individu yang menyertai latihan tersebut berkata, dia menggalakkan orang ramai yang masih membantah tindakan tentera supaya tidak menyerah diri kepada pihak berkuasa.

"Kami akan membantu anda dan meneruskan perjuangan anda sehingga beroleh kejayaan," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Khine kepada AFP di sebuah kem KNU. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!