Kluster baharu tempat kerja bertambah

Sektor pembuatan mencatatkan jumlah kluster baharu berkaitan tempat kerja yang tinggi dalam tempoh tiga hari.
Sektor pembuatan mencatatkan jumlah kluster baharu berkaitan tempat kerja yang tinggi dalam tempoh tiga hari.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 43 kluster baharu melibatkan tempat kerja direkodkan dalam tempoh tiga hari sekatan pergerakan penuh fasa pertama dilaksanakan.

Daripada jumlah tersebut, sektor pembuatan mencatatkan sebanyak 19 kluster baharu manakala perkhidmatan (16), pembinaan (5) dan pentadbiran awam (3).

Kluster tersebut turut mencatatkan sebanyak 1,130 kes positif Covid-19 hasil daripada 6,830 saringan yang dibuat.

Data yang dikutip dari 1 hingga 3 Jun itu menunjukkan sektor pembuatan mencatatkan jumlah kluster baharu yang tinggi.

Sektor yang merangkumi aktiviti perkilangan itu menyumbang sebanyak 44.1 peratus kepada kluster baharu tempat kerja.

Sementara sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 37.2 peratus, pembinaan (11 peratus) dan pentadbiran awam (6.9 peratus).

Artikel Berkaitan:

Bagi negeri pula, Johor mencatatkan sebanyak 11 kluster baharu tempat kerja, paling banyak berbanding negeri lain.

Daripada jumlah tersebut, sektor pembuatan mencatatkan jumlah kluster baharu terbanyak iaitu enam.

Sementara itu, Selangor mencatatkan sebanyak 10 kluster baharu, diikuti, Pulau Pinang (5), Kelantan (4), Sarawak (4), Perak (3) dan Kuala Lumpur (2).

Negeri Sembilan, Pahang, Sabah serta Putrajaya pula, masing-masing mencatatkan satu kluster baharu tempat kerja.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tempat kerja menunjukkan peningkatan lewat kebelakangan ini dan situasi itu dilihat cukup membimbangkan.

Bermula 1 April sehingga 27 Mei lepas, sebanyak 287 kluster tempat kerja dikesan dengan 17,087 kes, katanya.

Menurutnya, daripada jumlah kluster tempat kerja yang dikesan, kini terdapat 233 kluster yang masih aktif dengan 16,785 kes.

Beliau berkata, sektor pembuatan mencatatkan bilangan kluster tertinggi iaitu sebanyak 132 kluster (46 peratus) manakala sektor perkhidmatan pula mencatatkan 57 kluster (20 peratus).